AGC tidak boleh merayu, ada ruang dakwa semula – Peguam

AGC tidak boleh merayu, ada ruang dakwa semula – Peguam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak boleh merayu keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang melepas dan membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas bersetuju dengan hujahan beliau yang berpendapat kes itu sudah tertangguh terlalu lama.

“Jelas dalam kes ini pihak pendakwaan tidak bersedia dan hakim bersetuju dan memutuskan untuk membenarkan permohonan DNAA kami,” katanya dalam sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Muhammad Shafee berkata, bagaimanapun, pihak pendakwaan boleh memilih untuk mendakwa semula.

“Saya memohon Peguam Negara menggunakan kemuliaan pejabat dan budi bicara untuk tidak meneruskan kes ini,” katanya.

Sebelum ini, Hakim Muniandy membenarkan permohonan pihak pembelaan Najib, 72, supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilepas tanpa dibebaskan.

Muhammad Shafee dalam hujahannya memohon supaya Najib dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan itu.

Muhammad Shafee memaklumkan DNAA adalah terbaik untuk diberikan kepada anak guamnya buat masa ini, dengan mengambil kira faktor garis masa yang tidak pasti bila perbicaraan kes itu akan bermula.

Beliau berkata, pertuduhan terhadap Najib dibuat pada 2019 yang mana ia sudah mengambil masa selama enam tahun, manakala representasi pula dikemukakan pada 31 Julai 2023.

Pada 3 Februari 2019, Najib didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top