Agong Akan pilih KP SPRM Baharu, Titah Jangan Politikkan

Agong Akan pilih KP SPRM Baharu, Titah Jangan Politikkan

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bertitah Baginda akan memilih calon baharu bagi menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Justeru, Seri Paduka Baginda menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah amat penting dalam memastikan suruhanjaya itu terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kontrak Tan Sri Azam Baki bersama SPRM dijadualkan berakhir kurang sebulan selain beberapa nama dikatakan diteliti sebagai pengganti.

Untuk rekod, Azam telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan berkenaan, masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta 13 Mei 2025 hingga 12 Mei tahun ini.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Beebi Koya yang memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Dibawah pimpinannya, antara kes berprofil tinggi sepanjang 2025 hingga kini adalah pertuduhan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pendakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin serta empat pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia yang didakwa berhubung tuduhan salah guna kedudukan, pecah amanah, pengubahan wang haram dan menerima benda berharga.


Scroll to Top