KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pelumba basikal kebangsaan, Jusof Udin, yang meninggal dunia semalam.
Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini, menyatakan baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.
“Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan Allahyarham kepada negara.
“Seri Paduka berdua mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” demikian menurut hantaran itu.
Allahyarham Jusof, 61, pernah memenangi hatrik pingat perak pada Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur, 1979 di Jakarta dan 1981 di Manila.
Allahyarham juga pernah mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan Asia New Delhi pada 1982, selain seorang yang aktif dalam Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




