Korek pasir keterlaluan hingga rosak tebing sungai

Korek pasir keterlaluan hingga rosak tebing sungai

am@hmetro.com.my

Seremban: Aktiviti korek pasir berleluasa hingga menyebabkan tebing sungai Kampung Jijan di sini, runtuh selain boleh menjejaskan kelestarian sumber air.

Kegiatan itu menimbulkan kegusaran penduduk kampung yang meminta ia dihentikan serta merta.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, S Veerapan berkata, Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan bahawa aktiviti pengorekan pasir sungai hanya dibenarkan sekiranya pengusaha mematuhi sepenuhnya Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.

“Langkah awal permit pengorekan pasir itu akan dibatalkan serta-merta sekiranya prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi. Tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan akan diambil.

“Pengusaha bertanggungjawab membaik pulih tebing sungai yang rosak akibat aktiviti mereka, dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengusaha,” katanya semalam.

“Kawasan sungai yang berhampiran dengan ‘water intake’ adalah dilarang sama sekali untuk sebarang aktiviti pengorekan pasir,” ujarnya.

Veerapan berkata, setiap pengusaha wajib mendapatkan kebenaran daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), dan kelulusan daripada semua jabatan teknikal yang berkaitan.

“Kerajaan negeri menekankan bahawa sungai adalah sumber air utama rakyat, oleh itu, sebarang kelulusan pengorekan pada masa akan datang akan melalui penilaian yang ketat dan serius demi menjamin keselamatan dan kelestarian sumber air.

“Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk memastikan pengurusan sumber alam dilakukan dengan penuh tanggungjawab, demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, permit syarikat projek pasir ini pernah digantung sebulan sebelum ini.

“Pihak Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan agensi Teknikal dapati dia (syarikat) itu gagal menjawab tuduhan ini, kita akan batal terus permit mereka kerana mereka langgar syarat.

“Sepatutnya JPS kena pantau sebab dia yang bagi kelulusan timbal balik dan hasil mesyuarat tadi (semalam), syarikat itu di minta hentikan projek itu serta merta kerana sudah menjadi isu besar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top