Jie Yu dipanggil sertai skuad Piala Uber 2026 ganti Pearly

Jie Yu dipanggil sertai skuad Piala Uber 2026 ganti Pearly
Jie Yu dipanggil sertai skuad Piala Uber 2026 ganti Pearly

Jie Yu dipanggil bagi bergandingan dengan Thinaah selepas Pearly menarik diri Piala Uber akibat kecederaan.

PEMAIN beregu wanita negara, Chong Jie Yu dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala Uber 2026 yang dijadual berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Menurut kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Jumaat, pemain berusia 21 tahun itu akan menyertai kem latihan di Herning, Denmark sebagai sebahagian persiapan akhir pasukan menjelang kejohanan berpasukan wanita dunia tersebut.

Kehadiran Jie Yu yang akan digandingkan dengan M Thinaah juga dilihat sebagai peluang keemasan untuk pemain muda itu menimba pengalaman di pentas elit.

Perubahan dalam skuad itu berlaku susulan ketiadaan Pearly Tan yang tidak dapat menyertai kempen kali ini akibat kecederaan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky pada Khamis berkata, keputusan dibuat selepas penilaian terakhir terhadap tahap kecergasan pemain berkenaan.

Skuad negara kini memberi tumpuan kepada fasa akhir persiapan di Herning dengan penekanan terhadap keserasian gandingan serta ketahanan mental menjelang kejohanan di Horsens.

Dengan perubahan saat akhir ini, Malaysia perlu menyesuaikan pendekatan bagi memastikan cabaran di Horsens kekal kompetitif.

Skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.

Pencapaian terbaik negara di Piala Uber adalah melangkah ke suku akhir pada edisi 2010 di Kuala Lumpur sebelum tewas 0-3 kepada Indonesia.

Scroll to Top