PAS meneruskan pendiriannya untuk memberi arahan kepada ahli parti untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sama seperti PRN Negeri Johor yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini.

Memetik laporan Harian Metro, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa seluruh ahli PAS di bawah Parlimen Tampin memberikan sokongan penuh kepada calon BN dan PN yang bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Calon terbabit ialah Ridzuan Ahmad mewakili PN di DUN Gemas, Suhaimizan Bizar (BN) di DUN Gemencheh dan Koh Kim Swee (BN-MCA) di DUN Repah.
“Saya nak mengarahkan semua ahli PAS di kawasan Parlimen Tampin ini untuk keluar mengundi pada 1 Ogos ini.
“Kita perlu menyokong calon kita daripada BN untuk DUN Gemencheh, menyokong calon kita di Gemas dan tidak lupa kepada calon MCA di DUN Repah untuk kita rebahkan Pakatan Harapan (PH) di DUN itu,” ucapnya.

Turut hadir ialah Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Ahli Parlimen Tampin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PN berkata, semua ahli PAS wajib menunaikan tanggungjawab mengundi dan memilih calon BN sebagaimana arahan yang diberikan ketika PRN Johor sebelum ini.
“Ia untuk menentang calon PH, memenangkan calon BN tak kira daripada UMNO, MCA atau MIC.
“Mudah-mudahan usaha yang kita buat ini akan memberikan manfaat besar kepada umat Islam, bangsa Melayu dan tanah air tercinta ini,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Perikatan Barisan Nasional (PBN) nama baharu untuk kerjasama PN-BN – Hamzah
Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Takiyuddin menjelaskan arahan berkenaan bukan sahaja terpakai kepada ahli PAS, malah mengikat semua ahli parti komponen dalam PN.
Sumber: Harian Metro (Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Fahmi Tajuddin)




