Ahmad Jais kini pengarah teknikal

Ahmad Jais kini pengarah teknikal

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menaik taraf peranan pengendali baharu, Ahmad Jais Baharun kepada pengarah teknikal selepas mengesahkan pelantikan bekas tekong negara itu baru-baru ini.

Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Abidullah Salleh ketika mengesahkan perkara itu berkata, tindakan badan induk sepak takraw itu sebahagian daripada penyusunan semula barisan kejurulatihan skuad negara.

“Selain itu, Aswadi Abdullah, Ahmad Mohd Zin, Suhaimi Yusof dan Zulkarnain Arif akan menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih pasukan lelaki.

“Jurulatih wanita negara pula terdiri daripada Mohd. Rashidi Nordin, Khairudin Adenan dan Awi Awang.

“Sementara itu, Rashidi dan Khairudin turut menjadi jurulatih chinlone bagi Sukan SEA Kemboja, Mei ini,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Mohd. Sumali Reduan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Ahmad Jais yang berusia 53 tahun sebelum ini merupakan bekas tekong pemenang pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Hiroshima 1994 serta Sukan SEA Manila 1991, diumumkan PSM sebagai ketua jurulatih negara pada 9 Februari lalu.

Aswadi pula bukan nama asing dalam arena takraw negara terutama bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Guardians apabila menjuarai Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari dan Liga Sepak Takraw (STL) selain bergelar Jurulatih Terbaik 2018, 2019 dan 2022.

Sementara Suhaimi, bekas pengumpan negara pula pernah sepasukan dengan Jais membawa pulang pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan SEA Manila 1991 manakala Zulkarnain merupakan apit kiri regu emas Sukan SEA Filipina 2005.

Dalam perkembangan lain Abidullah berkata, skuad negara akan menyertai tiga daripada enam acara kategori lelaki dalam Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Jelasnya, pasukan lelaki akan menyahut cabaran dalam acara regu berpasukan, antara regu dan beregu manakala wanita pula beraksi acara beregu berpasukan dan kuadran.

“Bagi chinlone pula pasukan negara akan menyertai tiga acara iaitu non-repetion primary, same stroke, linking daripada empat acara berikutan peraturan ditetapkan penganjur Kemboja.

“PSM dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) akan melantik seorang perunding dari Myanmar bagi membantu latihan dan persiapan pasukan.

“Sebanyak 37 pemain termasuk yang dalam skuad negara sekarang, disenaraikan bagi sesi pemilihan dari Jumaat hingga Ahad ini di MSN, Bukit Jalil dalam menyaring 25 yang terbaik sebagai persediaan Sukan SEA dan Sukan Asia Hangzhou, September ini.

“Sebanyak 15 pemain pula telah disenarai pendek ke kem latihan skuad wanita mulai Isnin ini,” katanya yang menyambut balk keputusan MSN memberikan kembali mandat kepada PSM untuk menguruskan pasukan kebangsaan ke kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa.

Untuk rekod antara kejohanan-kejohanan besar melibatkan skuad takraw negara termasuklah Sukan SEA ke-32 Kemboja 2023 dan Sukan Asia 2022 Hangzhao, China.

Dalam perkembangan lain, Abidullah turut mengesahkan kemasukan Persatuan Sepaktakraw Selangor dan Persatuan Sepaktakraw Sarawak ke dalam badan induk itu.

Justeru katanya, PSM membenarkan tiga ahli gabungan yang pernah keluar – Selangor, Sarawak dan Perlis kembali menyertai Liga Sepak Takraw (STL) 2023 Divisyen Satu dari 26 Mei hingga 24 Jun ini.

Tambahnya, PSM juga mengalu-alukan kemasukan semula ke dalam badan induk itu, para pengadil yang bernaung di bawah Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) sebelum ini.

“Namun begitu, setiap pengadil perlu memohon semula penyertaan semula kepada PSM secara individu melalui persatuan-persatuan negeri masing-masing,” katanya.

Scroll to Top