am@hmetro.com.my
Bagan Serai: “Sebaik diberitahu anak saya jatuh di parit, saya bergegas ke lokasi kejadian dan terjun mencarinya.
“Selepas kira-kira 15 minit pencarian, barulah anak saya ditemukan, namun sudah meninggal dunia,” luah Mohd Shahrizal Abu Othman, 43.
Mohd Shahrizal berkata demikian ketika menceritakan kejadian anaknya, Ahmad Khalif, 11, yang lemas di dalam parit ladang di Kampung Jalan Baharu, Matang Jelutong, di sini, 5.30 petang tadi.
Dia berkata, anaknya lemas ketika bermain di situ selepas melihat jentera melakukan kerja mengorek parit bersama tiga lagi rakannya.
Katanya, dia mendapat maklumat kejadian itu pada 5 petang sejurus dihubungi penduduk.
“Ketika kejadian, saya di tempat kerja di Hospital Parit Buntar dan sebaik dimaklumkan mengenai insiden itu, saya bergegas pulang menuju ke lokasi. “Ini ketentuan-Nya, Allah lebih sayangkan dia,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian arwah di Masjid Matang Jelutong di sini, malam tadi.
Mohd Shahrizal berkata, baru-baru ini anak ketiga daripada empat beradik itu ada menyuarakan hasrat memintanya menyewa rumah inap desa yang ada kolam renang apabila menghadiri kenduri perkahwinan ibu saudaranya di Penaga, Kedah, pada 30 November ini.
“Tak sangka itu permintaan terakhirnya, dan saya reda dengan kejadian ini.” katanya.
Jenazah Ahmad Khalif disolatkan pada 10.12 malam tadi di Masjid Matang Jelutong sebelum dikebumikan di tanah perkuburan masjid berkenaan.
Menceritakan kejadian, rakan arwah, Muhammad Nur Fattah Alim Azhar, 10, berkata, tujuan mereka ke lokasi itu adalah untuk melihat jentera pengorek melakukan kerja mengorek parit di sana.
Menurutnya, ketika berjalan menuju ke arah jentera, Ahmad Khalif mengajak mereka untuk terjun ke dalam parit.
“Dia ajak kami semua terjun. Ketika berada di dalam air, saya melihat tangannya (Ahmad Khalif) terkapai-kapai di tengah parit menyebabkan saya dan rakan menjerit meminta tolong.
“Dua pemandu jentera terjun ke dalam parit, namun gagal menemukan Ahmad Khalif.
“Tidak lama selepas itu, kami lihat ayah Ahmad Khalif datang bersama penduduk kampung untuk melakukan pencarian sebelum menemukannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




