58 suspek judi haram Piala Dunia ditahan, pertaruhan hampir RM500,000

58 suspek judi haram Piala Dunia ditahan, pertaruhan hampir RM500,000

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 58 individu dalam 52 serbuan menerusi Op Soga XI yang dilancarkan bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi bersepadu yang bermula pada 11 Jun lalu hingga 19 Julai depan itu dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 54 lelaki dan empat wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.

“Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah wang tunai berjumlah RM25,684.65 selain nilai pertaruhan sebanyak RM488,582.47,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak polis turut mengesan sebanyak 42 platform yang digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi perjudian membabitkan laman sesawang, aplikasi, media sosial serta platform dalam talian.

“Susulan itu, tindakan menyekat laman sesawang dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan bantuan MCMC.

“Semua suspek yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) berkaitan bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan engikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“PDRM akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan selain memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perjudian haram,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha memerangi aktiviti berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top