Masalah Lampin Bayi Kembali Jadi Perdebatan— Kenapa Ibu Bapa Sanggup Pertaruh Keselamatan Anak Kecil? | Oh! Tidak – Oh! Media

Masalah Lampin Bayi Kembali Jadi Perdebatan— Kenapa Ibu Bapa Sanggup Pertaruh Keselamatan Anak Kecil? | Oh! Tidak – Oh! Media

Jika tahun 2017 pernah gempar dengan isu lampin tiruan. Kini, isu lampin bayi tular semula dan kali ini lebih dekat dari yang kita sangka.

Kalau anda aktif di TikTok baru-baru ini, mungkin pernah lalu di timeline anda video Buletin TV3 yang mendedahkan isu mengejutkan tentang lampin bayi dalam talian.

Video itu tular dengan cepat dan telah dikongsikan oleh ribuan netizen termasuk ramai ibu bapa muda yang terus tertanya-tanya: “Selama ni aku beli lampin murah online… adakah lampin anak aku selamat?”

Tonton video Buletin TV3 di sini:

@buletintv3 Keselamatan Pembelian Lampin Bayi Dalam Talian Jadi Tumpuan #buletintv3 ♬ original sound – BuletinTV3

Sejarah Berulang: Isu Keselamatan Lampin Bayi Kembali

Bagi ibu bapa yang sudah lama mengikuti isu pengguna, isu lampin bayi murah dan tak berkualiti bukan sesuatu yang asing. Jika pada tahun 2017 negara dikejutkan dengan masalah lampin tiruan, yang mana bahannya dari sumber yang meragukan. Semuanya demi keuntungan segera pihak yang tidak bertanggungjawab.

Waktu itu, ramai yang terkejut. Namun apabila isu tersebut semakin tenggelam, kehidupan kembali seperti biasa dan lama-kelamaan ia pun dilupakan.

Kini, setelah hampir 10 tahun, masalah yang sama kembali berulang. Bezanya platform e-dagang yang jauh lebih besar menjadi lubuk pemasaran. Pelbagai lampin bayi tanpa nama mula bercambah, dan apabila ibu bapa lebih mudah terpengaruh dengan harga murah, pastinya risiko juga menjadi lebih besar.

Apa Yang Sebenarnya Berlaku?

Pada 15 Mac 2025, laporan tahunan hak pengguna China yang terkenal — 315 Gala — mendedahkan sesuatu yang membuatkan ramai ibu bapa tak senang duduk apabila beberapa produk bayi, termasuk lampin pakai buang, didapati dihasilkan menggunakan bahan sisa kitar semula yang tidak melalui sebarang proses sanitasi yang betul.

Maksudnya, lampin itu mungkin diperbuat daripada bahan buangan yang dikitar semula tanpa dibersihkan dengan sewajarnya, ia hanya dibalut cantik, diletakkan jenama baru, dan dijual pada harga lebih murah di platform dalam talian.

Bayangkan bahan itu melekat pada kulit lembut anak anda, hampir 24 jam sehari.

“Tapi Lampin Ni Nampak OK Je…”

Inilah bahayanya.

Lampin daripada sumber yang meragukan tidak semestinya kelihatan berbeza pada pandangan mata kasar. Pembungkusannya mungkin cantik, harganya menarik, dan maklumat produknya juga mungkin kedengaran profesional.

Tapi apa yang tersembunyi di dalam bahan penyerapan, lapisan permukaan, atau gel penyerap yang bersentuhan terus dengan kulit bayi, bukanlah sesuatu yang kita tidak boleh nilai hanya dengan sekali pandang.

Kesannya pun tidak semestinya berlaku serta-merta. Ibu bapa mungkin hanya perasan ruam yang kelihatan “biasa-biasa je”, tanpa menyedari bahawa kulit bayi mereka sebenarnya sedang bertindak balas terhadap bahan yang tidak sepatutnya terdapat dalam lampin.

Jenama Tanpa Nama, Tanpa Alamat & Mudah Hilang

Satu lagi risiko yang jarang dibincangkan: siapa sebenarnya yang menjual lampin murah ini?

Ramai penjual dalam talian beroperasi tanpa premis perniagaan yang boleh disahkan. Tiada rekod pengilangan, tiada sijil keselamatan, serta tiada alamat syarikat yang jelas.

Dan jika ada berlaku masalah? Penjual boleh menutup akaun jualan mereka hari ini dan kembali berniaga semula esok dengan nama berbeza. Akhirnya, pengguna yang perlu menanggung risiko kerana tiada akauntabiliti dan perlindungan yang jelas.

Ini bukan sekadar risiko kualiti. Ini risiko yang boleh menjejaskan keselamatan bayi anda, lebih-lebih lagi apabila tiada siapa yang akan dipertanggungjawabkan jika sesuatu berlaku.

Apa Yang Membezakan Lampin Selamat Dengan Yang Tidak?

Pengeluar lampin yang telah lama bertapak dan boleh dipercayai mengawal keseluruhan rantaian bekalan mereka — bermula dari sumber bahan mentah sehinggalah ke proses pembungkusan akhir. Setiap peringkat pengeluaran melalui ujian makmal yang ketat.

Mereka juga mematuhi pensijilan antarabangsa seperti ISO dalam Pengurusan Kualiti, Kesihatan, Keselamatan, dan Alam Sekitar — bukan sekadar klaim, tapi rekod yang boleh disemak dan disahkan.

Sebaliknya, produk yang hanya melalui proses pembungkusan semula (iaitu, bahan dibeli dari sumber luar tanpa diketahui asalnya, sebelum dimasukkan ke dalam pembungkus baru) tidak melalui kawalan yang sama. Kita tidak tahu bahan itu dari mana, siapa yang hasilkan, dan adakah ia benar-benar selamat.

Panduan Mudah Untuk Ibu Bapa

Sebelum membeli lampin online, tanya diri sendiri soalan-soalan ini:

Boleh saya cari maklumat pengeluar dengan mudah? Jenama yang boleh dipercayai akan mendedahkan nama syarikat induk, lokasi kilang, dan rekod pensijilan mereka (maklumat tersedia pada bungkusan dan laman web rasmi)

Adakah jenama ini ada sejarah yang boleh disemak? Tidak semestinya perlu bertahun-tahun di pasaran, tapi sekurang-kurangnya ada rekod, ulasan pengguna yang boleh disahkan, dan kehadiran digital yang jelas.

Adakah ada sistem kebolehkesanan (traceability)? Ini bermakna, jika terdapat sebarang masalah dengan produk, anda boleh mengesan balik batch mana ia datang — dan pihak pengeluar boleh dipertanggungjawabkan.

Adakah harganya terlalu murah untuk masuk akal? Lampin berkualiti memerlukan bahan mentah yang baik, proses pengeluaran yang terkawal, dan ujian yang berterusan. Semua itu mempunyai kos. Kalau harganya jauh lebih murah daripada jenama lain di pasaran, tanya diri sendiri: bagaimana ia boleh dijual pada harga itu?

Adakah jenama ini mempunyai pensijilan ISO? Pensijilan seperti ISO menunjukkan bahawa pengilang mematuhi standard antarabangsa dalam aspek pengurusan kualiti, keselamatan dan proses pengeluaran. Walaupun ia bukan jaminan mutlak bahawa sesuatu produk itu terbaik, pensijilan ISO memberi keyakinan bahawa produk dihasilkan melalui sistem yang lebih tersusun, konsisten dan dipantau dengan baik.

Keselamatan Bukan Kemewahan — Ia Hak Si Kecil

Kita semua faham tekanan kewangan dan juga berusaha mencari cara untuk berjimat Sebenarnya ada banyak cara untuk berjimat sebagai ibu bapa.

Lampin ialah produk yang bersentuhan langsung dengan kulit paling lembut di rumah anda hampir sepanjang masa, siang dan malam. Ini bukan ruang untuk mempertahankan keselamatan demi penjimatan beberapa ringgit.

Isu ini tular bukan kerana media suka menakut-nakutkan, tetapi ia tular kerana ia benar-benar berlaku, dan ramai ibu bapa yang pernah mengalaminya selama ini.

Semak semula lampin yang anda guna sekarang. Pastikan pengeluar boleh dikenal pasti. Pilih yang terbukti selamat.

Kerana si kecil bergantung sepenuhnya kepada kita untuk membuat pilihan yang terbaik untuk mereka.


Sumber rujukan: Buletin TV3, laporan 315 Gala China 2025, artikel Keselamatan Pembelian Lampin Bayi Dalam Talian (BuletinTV3.my)

author avatar

Mastura adalah Ketua Penulis Editorial sepenuh masa di Oh! Media, pakar dalam menyampaikan artikel pemasaran dengan gaya yang santai namun penuh informasi, memastikan setiap kandungan mudah difahami dan relevan untuk pembaca.

Scroll to Top