Ahmad Maslan tiada kuasa terhadap Ahli Parlimen UMNO – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak akan memberi respons daripada surat yang dikeluarkan UMNO untuk menyatakan pendirian sama ada akur keputusan parti atau sebaliknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ini kerana Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan dikatakan tiada hak untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap ahli Parlimen.

Ia susulan UMNO pada Selasa lalu telah menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

“Ahmad Maslan tiada hak kepada ahli Parlimen. Saya hanya akan jawab kepada keputusan Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

“Saya Ahli Parlimen BN, walaupun saya bertanding mewakili UMNO, saya adalah Ahli Parlimen BN, dan BN perlu membuat sesuatu sebelum kami membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.