Ahmad Nawab tokoh muzik hebat – DJ Dave

Ahmad Nawab tokoh muzik hebat – DJ Dave

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Veteran (YKAT), Datuk DJ Dave, 76, melahirkan kesedihan apabila negara kehilangan dua tokoh muzik berturut-turut.

DJ Dave atau nama sebenarnya, Irwan Shah Abdullah berkata, dia terkejut apabila mendengar berita pemergian Tan Sri Ahmad Nawab petang tadi.

“Allahyarham seorang tokoh muzik, seorang pencipta yang hebat, yang tak dapat ditandingi di dalam negara kita. Beliau seorang yang banyak mengajar saya.

“Dalam minggu ini dua orang tokoh muzik yang penting dalam kehidupan seni saya telah kembali ke rahmatullah. Sewaktu kami hadir untuk menerima anugerah gelaran di Istana Negara tahun lalu, kami berbual mengenai karier saya.

“Saya menjemput beliau datang ke rumah saya dan beliau setuju nak datang minggu berikutnya. Tapi beliau tak berapa sihat dan tangguh seminggu lagi. Minggu berikutnya saya telefon beliau semula tapi tak dapat juga kerana beliau tak berapa sihat,” katanya.

DJ Dave yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham Ahmad Nawab di kediamannya di Taman Melewar, di sini berkata, arwah seorang pencipta yang tahu penyanyi mana sesuai dengan lagu-lagu ciptaannya.

“Banyak saya belajar dari beliau. Bila saya masuk studio, kena marah pun ada dan macam-macam perkataan kasar tapi saya terima dengan tabah kerana saya nak belajar.

“Saya dapat banyak pedoman dan nasihat dari arwah. Inilah satu-satunya insan yang saya rasa negara kita telah hilang seorang permata, bintang yang hebat dalam dunia seni.

“Seorang insan yang banyak berjasa kepada negara. Karakternya memang tegas masa bekerja,” katanya.

Menurutnya kebanyakan rakaman lagunya dibuat di Singapura dan dia sering ditegur oleh Ahmad Nawab.

“Beliau banyak kali tegur saya bila ada seni kata yang saya tak sebut dengan baik atau suara saya tak bagus menyanyikan lagu ciptaannya.

“Beliau marah saya tapi teguran itu bagi satu semangat untuk saya buat yang terbaik,” katanya yang tidak dapat hadir ke majlis pengebumian esok kerana akan ke Sabah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top