Barisan Nasional (BN) kekal komited bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15, sekali gus menepis dakwaan kononnya wujud usaha untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memetik laporan MalaysiaGazette, pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pendirian itu tidak pernah berubah sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dibuat atas titah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya tidak ada niat langsung, tiada langkah Bangkok ke, langkah Dubai ke, kami (BN) pegang bahawa apabila kami komited untuk berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Tuanku Agong dulu, kami komited sehingga akhir penggal Parlimen yang ke-15. Noktah.
“Jangan perlu timbul keraguan dan sebagainya. Biarkanlah orang bercakap, asalkan dalam minda kita ada pemikiran bahawa kita harus bersama, untuk kestabilan politik dan jiwa kita harus ikhlas dalam perkara ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) ke-61, hari ini.
Mengulas dakwaan penutupan pusat daerah mengundi (PDM) BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan isu tersebut sedang diuruskan kepimpinan negeri.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan (Datuk Seri Jalaluddin Alias) dan kebetulan kawasan itu berada dalam kawasan Parlimen beliau (Jelebu).
“Perkara itu sedang dalam perjalanan untuk penyelesaian. Kita ada tempoh kira-kira sembilan hari lagi dan saya fikir perkara itu boleh diselesaikan,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan PDM BN di Klawang didakwa enggan beroperasi sebagai tanda protes selepas BN tidak meletakkan calon bagi kerusi DUN berkenaan pada PRN Negeri Sembilan.
Kerusi DUN Klawang bakal menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Bakri Sawir; calon Perikatan Nasional (PN), Danni Rais; dan Muhammad Adib Musa daripada Bersatu.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid menafikan wujud sebarang rundingan rasmi antara BN dan PN bagi mewujudkan kerjasama politik yang dinamakan sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).

Beliau menjelaskan cadangan berkenaan hanya dibangkitkan dalam ucapan kempen dan tidak pernah menjadi topik perbincangan rasmi, selain perlu diperhalusi terlebih dahulu bersama pihak berkaitan.
Pada sidang media sama, Ahmad Zahid turut berseloroh membalas pantun yang dikongsikan Anwar semalam dengan menyampaikan pantun yang puitis dan mempunyai maksud tersendiri.
“Mendaki ke Gunung Tahan, jatuh ke gaung temui maut. Bumbung tercabut, mampu ditahan. Jika ribut, diterbang ke laut,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Tiada rundingan tukar kerajaan, BN kekal dengan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid
Beliau turut menegaskan hubungan beliau dengan Anwar kekal baik dan mesra seperti sebelum ini walaupun kedua-dua pihak bersaing dalam PRN Negeri Sembilan.
Semalam, Anwar berkongsi serangkap pantun yang menekankan kepentingan kesepakatan serta disiplin dalam persahabatan dan permuafakatan.
Sumber: MalaysiaGazette




