PETALING JAYA: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat di seluruh dunia ketika ini berisiko menjadi satu alat penjajahan digital sekiranya tidak ditadbir secara adil dan inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun AI menawarkan pelbagai manfaat termasuk meningkatkan produktiviti, mengubah sektor industri serta membuka peluang pembangunan baharu, teknologi itu turut membawa cabaran besar yang perlu diberi perhatian.
Katanya, perkembangan AI berpotensi memperluaskan jurang ketidaksamaan, menumpukan kuasa kepada kelompok tertentu selain menyebabkan banyak negara sukar menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang berlaku secara pantas.
“AI menggambarkan kedua-dua potensi dan risiko era baharu ini. Ia berpotensi mempercepatkan produktiviti, mentransformasikan industri dan membuka laluan baharu kepada pembangunan.
“Namun, ia juga berisiko melebarkan ketidaksamaan, menumpukan kuasa dan menyebabkan banyak masyarakat bergelut untuk mengejar perkembangan semasa,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik Tokyo, Jepun hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Menurut Anwar, hala tuju AI tidak boleh ditentukan oleh segelintir pihak atau syarikat swasta yang mempunyai pengaruh besar dalam pembangunan teknologi berkenaan.
Sebaliknya, beliau berkata, negara membangun juga perlu diberikan ruang lebih besar dalam membentuk peraturan serta kerangka tadbir urus yang akan menentukan kehidupan masyarakat pada masa hadapan.
“Walau sama ada dalam bentuk ‘misi memodenkan’ yang baharu atau ‘penjajahan digital’, kita mesti menolak sebarang manifestasi baharu ‘fasisme teknologi’.
“Negara membangun mesti mempunyai suara yang kukuh dalam membentuk peraturan dan kerangka tadbir urus yang akan mempengaruhi kehidupan berbilion manusia,” katanya.
Anwar berkata, cabaran yang dibawa oleh AI membuktikan bahawa isu teknologi tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh mana-mana negara.
Katanya, kerjasama, kepercayaan dan institusi yang mampu menghimpunkan pelbagai kepentingan adalah kunci untuk memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat kepada semua pihak.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia dan Jepun perlu terus memperkukuh kerjasama dalam ekonomi digital dan AI bagi memastikan inovasi yang dibangunkan kekal berteraskan rakyat serta bersifat inklusif. – UTUSAN




