Kuala Lumpur: Dunia berubah dengan pantas sejak kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT, Gemini, Microsoft Copilot dan DeepSeek.
Platform berkuasa ini bukan sahaja digunakan dalam syarikat gergasi teknologi, malah sudah mula diterapkan secara aktif dalam pendidikan dari bilik darjah sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.
Bagi pelajar yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), AI seperti ChatGPT bukan sekadar alat carian atau chatbot.
Ia kini menjadi pembantu maya yang mampu menjawab soalan, menjana idea, menterjemah bahasa, menulis kod, malah membantu menghasilkan kandungan kreatif dan tugasan akademik.
Di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), pelajar bukan sahaja diajar menggunakan teknologi ini, tetapi turut didedahkan kepada bagaimana sistem seperti ChatGPT dibina, beroperasi dan diaplikasikan dalam pelbagai bidang.
<img class="img-responsive"<img src="https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Photo%202.jpg"
Ketua Pegawai Inovasi dan Perusahaan APU, Prof Dr Vinesh Thiruchelvam berkata, AI bukan lagi eksklusif untuk pelajar dalam bidang teknologi semata-mata.
“Kita mahu semua pelajar tidak kira latar belakang akademik memahami potensi sebenar AI. Pendekatan inklusif ini membolehkan mereka menggunakan teknologi ini secara kreatif, praktikal dan bertanggungjawab,” katanya.
Tambah beliau, AI membuka peluang baharu dalam kerjaya moden. Daripada menganalisis data, membina aplikasi, menjana idea perniagaan, sehinggalah membina kandungan pemasaran digital, penggunaan AI memudahkan dan mempercepatkan pelbagai proses kerja harian.
<img class="img-responsive"<img src="https://assets.hmetro.com.my/images/articles/APU%20Campus..jpg"
APU turut menyerap elemen AI dalam pengajaran bilik darjah, projek khas dan pembentangan.
Pelajar juga dibimbing untuk menggunakan teknologi ini secara etika dan bijaksana.
“Kami tidak sekadar mengajar pelajar menggunakan ChatGPT. Kami bimbing mereka untuk memahami bagaimana ia berfungsi, serta mendidik mereka supaya tidak menyalahgunakannya,” katanya.
Katanya lagi, pemahaman menyeluruh terhadap AI membolehkan pelajar menjadi pencipta, bukan hanya pengguna teknologi.
Dengan dunia yang semakin bergantung kepada teknologi pintar, pendedahan awal terhadap AI seperti yang dilakukan di APU diyakini mampu melahirkan generasi masa depan yang bersedia menerajui perubahan global secara beretika dan berinovasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




