Aidiladha ingatkan nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan – Ahmad Zahid

Aidiladha ingatkan nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan – Ahmad Zahid

Kuala Lumpur: Aidiladha yang akan disambut umat Islam esok bukan sekadar perayaan, sebaliknya mengingatkan tentang nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, menjadi teladan besar tentang kekuatan iman dan kasih sayang dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

“Ibadah korban juga melambangkan keprihatinan serta semangat berkongsi rezeki demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Ahmad Zahid berharap sambutan Aidiladha ini akan mengeratkan hubungan kekeluargaan, menyemai semangat kebersamaan dan menggalakkan masyarakat untuk terus membantu mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut mendoakan agar segala urusan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dipermudah dan memperoleh haji yang mabrur.

“Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1447 kepada seluruh umat Islam. Semoga Aidiladha kali ini membawa keberkatan dan rahmat buat kita semua. Insya-Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top