am@hmetro.com.my
Kuantan: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut atas tindakan pantas membantu menyediakan bekalan elektrik kepada sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut.
Baginda turut menzahirkan rasa sukacita apabila keluarga berkenaan yang hampir 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik kini mula menerima kemudahan itu hasil tindakan segera pihak berkaitan.
“Baginda turut menzahirkan harapan agar semua pihak berkaitan dapat bertindak dengan lebih proaktif dalam memastikan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan infrastruktur lain dapat disediakan dengan sewajarnya kepada rakyat di seluruh negeri Pahang, khususnya di kawasan pedalaman.
“Baginda sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat serta mahu setiap lapisan masyarakat di negeri ini menikmati kemudahan asas yang sempurna demi kesejahteraan hidup yang lebih baik,” menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Baru-baru ini, kisah keluarga tiga beranak itu mendapat perhatian ramai selepas mereka menahan konvoi kenderaan Sultan Pahang ketika melalui Kampung Kuala Sat dengan memegang plakad bertulis “Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap” bagi mengadu masalah yang dihadapi.
Susulan itu, pihak TNB bersama Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut telah mengambil tindakan segera dengan memasang peralatan serta kemudahan berkaitan sebelum bekalan elektrik berjaya disalurkan ke rumah keluarga terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




