AIM25 lakar sejarah di Sarawak

puterialia@hmetro.com.my

PENGANJURAN Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) melakar sejarah tersendiri apabila julung kalinya dibawakan ke Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia ke-63 akan datang.

Malam kemuncak acara berprestij yang menghimpunkan barisan artis serta personaliti industri muzik tanah air bakal diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 26 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25 yang juga Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata, persembahan akan disusun dengan rapi bagi menampilkan perjalanan kepelbagaian genre 25 tahun muzik Malaysia termasuk pop, rock dan balada.

“Kami teruja membawa AIM ke Sarawak buat pertama kali, di samping meraikan kepelbagaian bakat dan muzik Malaysia yang diwakili barisan finalis tahun ini,” katanya pada sidang media kedua AIM25, baru-baru ini.

Malam kemuncak AIM25 bakal dimeriahkan dengan persembahan barisan artis popular tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi, Anggrek, Akim Ahmad, Hafiz Suip, Hael Husaini, Hujan, Estranged serta penyanyi Indonesia, Fajar Noor.

Menurut Rosmin, kehebatan nama besar ini membuktikan AIM25 benar-benar berada pada kemuncak segala-galanya.

“Lebih menarik, pemenang 16 kategori utama AIM25 akan menerima dana keseluruhan berjumlah RM950,000 yang disumbangkan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures.

“Inisiatif ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyokong pembangunan industri seni negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Kushairi Abang menjelaskan pemilihan September dibuat kerana tarikh berkenaan berdekatan dengan Hari Malaysia ke-63 pada 16 September ini.

“Bagi kami, ia sangat signifikan. Kami rasa sangat berbangga kerana pertama kalinya stesen televisyen (TV) di sebelah Borneo di bawah liputan Malaysia dapat membawa RIM ke Sarawak selepas 63 tahun merdeka.

“Persediaan memang rapi kerana ini mungkin acara hiburan paling berprestij pernah berlaku di Borneo. Pihak TVS dan RIM bekerjasama rapat daripada segi perancangan fasiliti supaya standard penganjuran kekal sama,” katanya.

Mengulas mengenai elemen budaya tempatan, Kushairi berkata, elemen budaya Sarawak tetap ditonjolkan memandangkan negeri itu mempunyai lebih 27 kumpulan etnik, namun keutamaan tetap diberikan kepada muzik.

“Budaya datang seiring. Sarawak juga sebahagian daripada Malaysia dan budayanya sama sahaja dengan Semenanjung, cuma bezanya kami ada lebih banyak kumpulan etnik.

“Persembahan budaya akan diselitkan juga dalam ‘content’, tetapi fokus utama tetap pada muzik. Saya berharap AIM25 kali ini menjadi antara penganjuran yang terbaik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pembaca berita TVS yang dipilih sebagai hos AIM25, Sheera Abang Mansur mengakui gementar dan berdebar apabila diberi tanggungjawab besar berkenaan.

“Perasaan saya berbaur, rasa berdebar dan ada tekanan di sana sini. Namun, saya berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada RIM serta TVS atas peluang mengembangkan potensi bakat ini.

“Insya-Allah, apa sahaja yang disampaikan dan dipersembahkan di atas pentas AIM25 nanti dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Selain Sheera, malam kemuncak berkenaan akan dikendalikan oleh gandingan pengacara popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya.

Mengulas lanjut, Rosmin berkata, pemilihan hos, penyampai anugerah dan artis persembahan bagi AIM25 dilakukan secara bersama dengan rakan penyiar, TVS selaku penganjur.

“Untuk pemilihan hos, penyampai anugerah dan juga artis yang buat persembahan semuanya dipilih bersama dengan pihak TVS.

“Kami percaya gandingan hos, Scha Alyahya dan Awal Ashaari akan memberi persembahan yang terbaik,” katanya lagi.

Bagi menambah warna pada malam kemuncak itu, empat finalis kategori Artis Baharu Terbaik iaitu Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim turut diberi ruang mempersembahkan bakat mereka.

Dalam pada itu, AlM25 turut menampilkan barisan penyampai anugerah yang terdiri daripada artis dan personaliti daripada pelbagai cabang industri hiburan Malaysia.

Antaranya ialah Amir Jahari, Wany Hasrita, Nisa Kasnon, Anggrek, Azeva, Fattah Bolh, Salam, Aina Abdul, Kaka Azraff, Yonnyboii, Melissa Francis, Luqman Iman Troye, HUJAN, Noraniza ldris, Lah Ahmad, Hazama, Dr Soo Wincci, Rabbit Mac, Handy Gui Stacy dan Mila Jirin.

Gabungan pengacara, barisan penghibur dan penyampai anugerah ini dirangka bagi mewujudkan pengalaman malam anugerah yang lebih menarik dan dinamik, selain mencerminkan keluasan serta kepelbagaian industri muzik Malaysia.

Edisi Jubli Perak AlM25 direalisasikan menerusi sokongan padu daripada kerajaan, rakan strategik serta rakan industri yang berganding bahu untuk membawa penganjuran anugerah muzik terulung Malaysia ini ke Sarawak buat kali pertama.

Bukan hanya itu, AIM25 menerima Geran Acara Pelancongan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) bagi menyokong penganjuran edisi bersejarah ini.

Barisan penaja rasmi AIM25 turut terdiri daripada syarikat penerbangan rasmi, AirAsia, air minuman rasmi, Orkid serta lokasi rasmi, Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).

AlM25 turut mendapat sokongan daripada rakan strategik iaitu AirBorneo, Kuala Cola, Maxim, Grand Margherita Hotel, Riverside Majestic Hotel, Riverside Majestic Astana Wing dan Sheraton Kuching, yang memainkan peranan penting dalam menyokong kejayaan penganjuran malam anugerah berkenaan.

Bagi sokongan radio, ERAFM, HITZ, MY FM dan RAAGA di samping CATS FM menjadi Rakan Radio Rasmi AIM25, sekali gus memperluaskan jangkauan AlM25 kepada khalayak di seluruh negara dan Sarawak.

Malam kemuncak AIM25 dijadualkan bermula jam 9 malam didahului dengan segmen karpet merah bermula jam 8 malam.

AIM25 bakal disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi TVS di Saluran 122 dan TVS Inspire.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top