SIRI 1
puterialia@hmetro.com.my
TIDAK pernah mempunyai sebarang impian untuk menceburkan diri dalam industri seni, tetapi pelakon senior, Namron rupanya peminat filem tegar serta gemar menonton wayang sejak kanak-kanak.
Menurut Namron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan, 57, panggung wayang pada waktu itu berfungsi sebagai ruang ‘escapism’ (melarikan diri) setiap kali dia berdepan dengan pelbagai situasi.
“Saya sebenarnya waktu kanak-kanak dulu tak pernah berangan-angan pun nak jadi pelakon, tapi saya suka tengok wayang. Dari kecil lagi memang itu adalah ‘escapism’ saya. Jadi, panggung wayang itu macam tempat untuk saya ‘escape’,” katanya kepada RAPXTRA.
Namron berkata, kunjungannya ke pawagam ketika itu membuatkan dirinya bukan sekadar menjadi penonton biasa, malah tabiat tersebut lama-kelamaan bertukar menjadi satu ketagihan apabila setiap hari dia mesti menonton filem di pawagam.
Keadaan itu menjadi lebih mencabar pada zaman dahulu kerana pawagam hanya beroperasi menggunakan satu skrin tayangan sahaja, sekali gus naskhah yang sama terpaksa ditayangkan berhari-hari lamanya.
Akibat kekangan itu, situasi berkenaan membangkitkan Namron rasa tidak sabar untuk menantikan kemunculan naskhah baharu di pawagam.
Bagaimanapun, Namron turut berkongsi dia mula menjadi peminat filem tegar ketika di sekolah rendah hingga menginjak dewasa.
“Bila dah berusia ini, baru kurang sikit tengok wayang. Tapi waktu dulu, memang saya ‘kaki wayang’ pun,” katanya lagi.
Kongsi Namron, pembabitannya dalam arena perfileman sebenarnya bermula tanpa disedari sejak kecil lagi apabila dia sering menampal poster filem di dinding rumah orang ramai dan pokok bagi membolehkannya menonton pawagam secara percuma tanpa perlu membayar.
“Waktu kanak-kanak saya pernah tampal poster filem. Saya tampal di dinding rumah orang, ada yang di pokok. Nanti upah dia saya boleh tengok filem secara percuma dan saya tak perlu bayar.
“Jadi, kadang-kadang abang saya kerja di pawagam buat kerja sambilan di panggung.
“Abang saya selalu bagi saya poster saiz A4, dia ‘print’ banyak-banyak, dan tugas saya hanya perlu pergi tampal sahaja,” kongsinya.
Secara tidak sedar, Namron yang kini lebih dua dekad terbabit dalam industri seni ini mula jatuh cinta pandang pertama pada dunia teater ketika usianya mencecah lingkungan 20-an.
Meskipun Namron sudah mula berjinak-jinak dengan dunia perfileman pada usia muda, minat mendalam terhadap teater hanya timbul selepas dia tamat pengajian dan sudah mula bekerja.
Ketika menetap di Perlis, Namron mula menyertai kumpulan teater tempatan secara sambilan sebelum terbit rasa seronok yang mendalam terhadap seni pementasan teater itu.
Katanya, detik itu memberikannya satu kelegaan besar apabila akhirnya dia menemui arah tuju hidup yang dicari-carinya selepas lama berteka-teki.
“Waktu itu, umur saya dalam 20-an baru saya rasa macam, ‘oh, inilah yang aku nak buat sebenarnya’.
“Saya baru jumpa apa saya nak buat dalam hidup. Sebelum ini saya hanya mencari sahaja,” ujarnya yang mengakui sudah mula terlibat dalam dunia perfileman secara tidak sedar sejak dahulu lagi.
Fasa awal pembabitan Namron tidak semudah disangka, meskipun dia hanya berminat menghasilkan teater semata-mata, namun dia berdepan pelbagai cabaran getir apabila masyarakat setempat sukar ditarik ke pawagam.
“Waktu itu saya memang buat teater sahaja. Tapi bila selalu buat teater di Perlis itu, nak jual tiket pun orang tak beli nak tengok. Nak buat tayangan secara percuma pun, orang tak nak tengok, susah,” katanya yang mengimbau kesukaran pada fasa awal perjuangan seninya.
Sementara itu, Namron, berkata perjalanan awal seninya bermula apabila dia memberanikan diri untuk berhijrah ke ibu negara bagi menyambung pengajian di Akademi Seni Kebangsaan pada 1994 yang kini dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan dan Warisan Negara (ASWARA).
Menurut Namron, dia sebahagian daripada kumpulan pertama yang diterima masuk apabila institusi tersebut mula dibuka untuk pengajian teater.
Meskipun tekun mendalami ilmu teater, minat dan kecenderungannya mula berubah arah apabila pensyarah di situ mula melihat potensinya yang lebih cenderung ke arah kerja pengarahan serta menasihatinya untuk memberikan lebih tumpuan dalam bidang berkenaan.
“Bila saya datang Kuala Lumpur, saya dapat masuk ASWARA. ‘Batch’ pertama ASWARA buka, saya ‘apply’ dan dapat masuk. Saya ‘batch’ pertama yang belajar teater.
“Saya belajar teater apa semua. Tapi bila dah mula belajar tu, dah mula fikir macam nak ke arah mengarah. Pensyarah pun ada cakap saya lebih kepada mengarah, jadi pensyarah minta saya fokus pada mengarah,” katanya.
Disebabkan saranan itu, Namron melupakan seketika untuk berlakon dalam teater dan terus komited menumpukan perhatian sepenuhnya dalam menghasilkan kerja pengarahan karya melalui bidang teater.
ESOK: Dari teater ke filem ‘Paloh’
© New Straits Times Press (M) Bhd
