PETALING JAYA: Analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap kesemua lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Doktor Udara yang terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak baru-baru ini telah mengesahkan identiti setiap daripada mereka.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, susulan itu mayat kesemua mangsa seterusnya akan diserahkan kepada waris masing-masing.
“Susulan pengesahan identiti tersebut, mayat kesemua mangsa diserahkan kepada waris masing-masing melalui Jabatan Patologi Hospital Miri.
“Polis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Kesihatan, Hospital Miri serta seluruh agensi yang terlibat dalam operasi pengecaman dan pengurusan mangsa,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata, seramai 19 individu telah dirakam keterangan oleh pihak polis bagi membantu siasatan berhubung nahas berkenaan.
Menurutnya, proses merakam keterangan tersebut diambil daripada pelbagai sudut merangkumi pelbagai pihak berkaitan
“Keterangan pelbagai sudut ini bagi mendapatkan gambaran serta maklumat menyeluruh berhubung insiden berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan kini menumpukan usaha pengumpulan data dan maklumat awal dengan mengambil keterangan daripada syarikat pengendali pesawat dalam usaha untuk mengenalpasti punca sebenar insiden nahas udara baru-baru ini.
BSKU memaklumkan, langkah berkenaan dijalankan sejajar dengan ketetapan antarabangsa di bawah Lampiran 13 (Annex 13) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menuntut penelitian menyeluruh ke atas aspek operasi dan penyelenggaraan pesawat.
“Melalui proses ini, penyiasat BSKU menyemak pelbagai dokumen kritikal termasuk rekod penyelenggaraan, buku log teknikal, operasi dan jadual penerbangan serta rekod latihan kru,” katanya.-UTUSAN.
