am@hmetro.com.my
Kulim: Pentadbiran Kerajaan Perpaduan ketika ini belum memasuki tempoh `idah’ atau `iddah’ untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penggal Parlimen ke-15 hanya bermula selepas Ahli Parlimen mengangkat sumpah pada Februari 2023 dan tempoh lima tahun itu berakhir pada Februari 2028.
“Kalau dikatakan idahnya sampai, itu tidak tepat lah. Lima tahun itu bermula pada tarikh Ahli Parlimen mengangkat sumpah yang menandakan penggal Parlimen ke-15.
“Bila Ahli Parlimen angkat sumpah? Februari 2023. Lima tahun bermula dari situ, Februari 2028. Jadi sekarang September 2026, takkan idah, belum lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sua Mesra Bersama Menteri Dalam Negeri di pusat khidmatnya, di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki bahawa PRU16 wajar segera dilaksanakan kerana kerajaan kini sudah memasuki idah pilihan raya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata tempoh berbaki lebih setahun itu masih memadai untuk kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Sekarang ini kita manfaatkan sebaik mungkin tempoh yang ada. Setahun lebih lagi sebenarnya lumayan kalau saya nak tolong rakyat, bantu rakyat, makmurkan ekonomi dan stabilkan politik, tempoh ini memadai.
“Jadi kita fokus jaga kestabilan politik, fokus kepada kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat dalam tempoh berbaki ini berbanding mencadangkan pilihan raya dibuat,” katanya.
Saifuddin berkata, kuasa membubarkan Parlimen sekali gus PRU diadakan, adalah di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tentunya perlu mengambil kira kepentingan semua parti dalam kerajaan gabungan.
“Perdana Menteri faham, beliau menjadi Perdana Menteri pada sebuah kerajaan gabungan yang mengandungi pelbagai wakil parti-parti lain. Saya fikir dia akan ambil kira semua,” katanya.
Saifuddin berkata, kenyataan Asyraf Wajdi atau Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu dilihat dalam konteks pandangan dan kepentingan parti masing-masing.
“Untuk saudara Asyraf ataupun presidennya Datuk Ahmad Zahid, sesuai dengan pimpinan agung UMNO, saya pun faham. Saya pernah duduk dalam UMNO, saya kena bercakap sesuai dengan minat dan perkara yang menjadi ahli-ahli UMNO beri perhatian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
