Pelancong warga emas dari India lemas di Pulau Tioman

am@hmetro.com.my

Rompin: Seorang pelancong wanita warga emas dari India lemas selepas terjatuh dari bot di perairan Pulau Tioman, di sini, pagi tadi selepas menyertai `Discover Scuba Diving’ berhampiran Pulau Renggis.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata kejadian kira-kira jam 9.50 pagi ketika Sabiya Shiek, 65, sedang memanjat tangga bot apabila tiba-tiba tergelincir dan terjatuh ke air.

“Kejadian berlaku selepas wanita terbabit bersama enam ahli keluarganya melakukan aktiviti itu diiringi dua jurulatih selam skuba. Selepas itu, dia memaklumkan jurulatih untuk kembali ke atas bot.

“Ketika memanjat tangga bot sambil dibantu seorang anak perempuannya yang menanggalkan peralatan selam skuba, dia tergelincir lalu jatuh ke laut dan tenggelam. Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada seorang jurulatih dan usaha mencari dilakukan.

“Warga emas terbabit kemudian ditemui terdampar di dasar laut dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sharif Shai berkata warga India itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Tekek di Pulau Tioman dam pegawai perubatan melakukan pemeriksaan mengesahkan wanita terbabit sudah meninggal dunia.

Katanya, Sabiya berasal dari Tamil Nadu, datang ke Pulau Tioman bersama keluarga semalam untuk bercuti di pusat peranginan itu selama empat hari.

“Wanita terbabit tidak mempunyai lesen selam skuba dan kejadian selepas dia melakukan aktiviti Discover Scuba Diving. Kedalaman dasar laut di lokasi kejadian dianggarkan mencecah tujuh meter,” katanya.

Mayat wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di Kuantan, untuk proses bedah siasat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top