syafil.syazwan@hmetro.com.my
AINA Abdul sekali lagi membuktikan keampuhan bakat dan ketekunannya dalam industri seni apabila berjaya membawa pulang tiga anugerah berprestij pada malam gemilang Anugerah Industri Muzik 24 (AIM24), termasuk kategori Lagu Pop Terbaik, baru-baru ini.
Lebih bermakna, kemenangan itu hadir menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu, sebuah karya yang begitu dekat dengan jiwanya, lahir daripada titik terendah perjalanan hidup penyanyi berusia 32 tahun itu.
“Alhamdulillah, ini antara malam saya impikan sepanjang karier saya. Selain Anugerah Juara Lagu (AJL), anugerah ini juga saya anggap sangat ikonik di Malaysia.
“Sejujurnya, saya sudah lama mengidam untuk menggenggam trofi ini. Bagi saya, ia ibarat ‘mikrofon baharu’ yang akan menguatkan langkah saya untuk terus berkarya,” katanya.
Saat temu bual berlangsung, Aina yang tidak dapat menyembunyikan rasa sebak tidak ketinggalan meluahkan penghargaan kepada insan-insan penting yang sentiasa berada di sisinya.
“Pertama sekali, terima kasih kepada ibu saya yang tidak pernah berhenti mendoakan saya. Terima kasih juga kepada abang, adik-beradik, pengurus, PA (pembantu peribadi), serta pasukan muzik saya yang kecil tetapi cukup kuat.
“Sudah tentu penghargaan besar saya tujukan buat peminat, khususnya keluarga Aination yang menjadi tulang belakang saya sejak awal,” katanya.
Dia turut menyebut nama penerbit terkenal, Mac Chew dan Jenny Chin yang banyak membantu dalam menghasilkan karya berkualiti sepanjang kariernya.
“Mereka sentiasa mendukung karya saya dan memberikan yang terbaik dalam setiap proses penghasilan muzik,” katanya.
Mengulas lanjut kemenangan lagu Jangan Mati Rasa Itu, Aina tidak menafikan karya itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat dirinya.
“Kadang-kadang, sebagai penulis lagu, kita tidak tahu apa yang kita cuba capai. Ada masa saya buntu, tertanya-tanya apa sebenarnya hala tuju saya dalam industri muzik.
“Tetapi saya percaya ilham yang Allah hadirkan itu benar, dan saya bersyukur setiap kali di titik terendah hidup, akan ada melodi yang datang untuk saya nukilkan.
“Awalnya saya fikir lagu itu sekadar menyembuhkan hati saya yang luka. Tak sangka, ia menjadi penawar kepada hati peminat yang juga terluka di luar sana. Itu membuatkan saya lebih gembira dan berterima kasih,” katanya.
Mengakui pernah menerima pelbagai kritikan pedas di media sosial, Aina menganggap perkara itu sebahagian daripada proses pendewasaan.
“Saya tidak menafikan ada ketika kritikan itu berat untuk ditelan, tetapi itulah yang menguatkan saya secara tidak langsung.
“Malah, apabila nama saya disebut-sebut di media sosial, itu satu bentuk ‘anugerah’ kerana orang masih mengingati siapa saya,” katanya.
Baginya, apa yang lebih penting ialah fokus terhadap sokongan yang datang daripada peminat berbanding suara-suara negatif.
“Saya tahu saya tak boleh tutup mulut semua orang. Walau tinggi mana pun pencapaian saya, ‘haters’ tetap akan bercakap. Tetapi saya tidak fokus kepada mereka. Fokus saya ialah kepada yang menyokong dan menghargai saya,” katanya.
Menyorot kembali perjalanan seni, Aina mengakui dirinya dibentuk inspirasi artis-artis terdahulu yang menjadi idola sejak remaja.
“Saya terlalu obses dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza sehinggakan mak bertanya, ‘Kau nak jadi penyanyi ke?’ Dari situlah mak hantar saya ke kelas vokal sejak usia 15 tahun hingga ke peringkat kolej.
“Minat saya sangat mendalam dan saya menjadikan idola itu sebagai titik tertinggi untuk dicapai.
“Namun, kalau ada yang menganggap saya sudah menjadi inspirasi buat orang lain pula, saya tidak berani menganggap diri saya di tahap itu.
“Saya berharap setiap langkah saya mampu memberikan kesan positif kepada sesiapa yang melihat dan mendengar karya saya,” katanya.
Menurut Aina, sebagai artis tanpa sokongan label besar, perjalanan seninya tidak pernah mudah.
“Saya adalah label saya sendiri. Itu cabaran besar, tetapi pada masa sama ia juga menjadi ‘resipi’ kejayaan saya. Saya harap penyanyi lain di luar sana jangan pernah berputus asa.
“Setiap lagu yang anda nyanyikan atau tulis ada nilainya. Pendengar mendengar lebih daripada apa yang anda fikirkan,” katanya.
Aina menegaskan kemenangan itu bukan noktah, sebaliknya pemangkin untuk dia menghasilkan karya lebih berkualiti pada masa depan.
“Trofi ini bukan untuk menutup mulut sesiapa, tetapi sebagai bukti bahawa sokongan peminat tidak sia-sia. Saya mahu gunakan kemenangan ini untuk memperkukuh arah baharu saya.
“Saya tahu perjalanan ini bukan mudah, tetapi saya janji akan persiapkan diri untuk lebih kuat selepas ini.
“Dengan izin Allah, saya akan lahirkan lebih banyak lagu dan terus memberikan yang terbaik kepada semua peminat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




