Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul mengaku berdepan fasa sukar awal tahun ini apabila terpaksa mengambil masa untuk menyendiri dan menjauhkan diri seketika daripada dunia muzik demi menjaga kesihatan mental dan emosinya.
Aina berkata, dia terpaksa mencari semula kebahagiaan dalam muzik dengan membuang jauh segala jangkaan dan penghakiman daripada luar.
“Sejujurnya, saya terpaksa cari balik kebahagiaan dalam muzik. Saya ingin tetap mencipta tanpa sebarang penghakiman, jangkaan atau gangguan luar. Kadang-kadang suara di luar terlalu kuat.
“Tahun ini, saya belajar untuk mencari kebahagiaan sendiri dan hubungan dengan muzik. Saya tanya pada diri sendiri, apa yang boleh buat saya gembira dan bagaimana nak gembira semula dalam menyanyi?,”‘katanya.
Menurut Aina, sepanjang tempoh berdiam diri ia membuka ruan untuk kembali menghargai setiap karya yang hadir dalam hidupnya, selain mengubah pendekatannya terhadap muzik dan nyanyian.
“Waktu itu, Aina tak menulis atau menyanyi. Mungkin kedengaran menakutkan, tapi pada saat itu, itu adalah pilihan terbaik demi kewarasan.
“Selepas itu, saya belajar untuk lebih menghargai setiap karya dan bunyi yang singgah dalam fasa baharu hidup. Saya ubah cara mendekati muzik, menyanyi dan mendengar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




