Barcelona: Pelumba Aprilia Racing, Jorge Martin mengakui dia teringat kepada mendiang Luis Salom selepas terbabit kemalangan ketika sesi latihan MotoGP Catalunya, semalam.
Salom sebelum ini meninggal dunia di Litar Barcelona pada perlumbaan Moto2 musim 2016 selepas terbabas dan melanggar penghadang keselamatan.
Martin turut mengalami situasi hampir sama apabila terbabas ke arah penghadang angin selepas terjatuh di selekoh 12 ketika sesi latihan pagi.
Pelumba itu bagaimanapun bernasib baik apabila tidak mengalami kecederaan serius.
“Saya okay selepas kemalangan tadi. Saya memang takut sebab ia kemalangan yang bahaya.
“Sangat bahaya kalau jatuh di situ. Masa saya jatuh, saya terus teringat Luis Salom.
“Nasib baik motosikal saya terbalik dan saya terkena badan motosikal, bukan handle.
“Mereka perlu perbaiki lagi tahap keselamatan di kawasan itu,” katanya.
Martin kemudian sekali lagi terjatuh pada sesi sebelah petang di selekoh 2.
Akibatnya, pemenang GP Le Mans itu gagal berada dalam kelompok 10 terbaik dan terpaksa mengharungi aksi kelayakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




