Aina Abdul merajuk, dikecam bertubi-tubi

Aina Abdul merajuk, dikecam bertubi-tubi

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul mengaku merajuk apabila menerima kecaman bertubi-tubi daripada netizen susulan persembahannya di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) baru-baru ini.

Aina, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, kritikan itu membuatkan dia terasa seolah-olah usahanya dalam memberikan persembahan berkualiti menerusi lagu Puas Sudah di pentas berprestij itu tidak dihargai.

“Ada sikit merajuk, tapi tidaklah sampai terlalu kecewa. Saya manusia biasa, namun apabila usaha diberikan sepenuh hati tetapi tidak dihargai, sedikit sebanyak saya terasa. We Netizen kritik saya seolah-olah saya tidak memberikan kualiti pada persembahan AJL tempoh hari.

“Saya merasakan macam di AJL itu mereka (netizen) tidak lagi melihat kualiti. Ini bagi saya lah, bukan bercakap bagi pihak orang lain.

“Melihat bagaimana netizen melayan saya, memang kecil hati. Saya cuma ada satu matlamat iaitu mahu berlaku jujur dalam berkarya. Bukan mahu menunjuk atau ‘show off’,” katanya.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen koleksi jenama Amber bertemakan ‘Raya Romantics’ di sebuah hotel di sini, semalam.

Meskipun dihentam bertubi-tubi, Aina tidak mengambil hati dengan kritikan pedas yang dilemparkan.

“Mental saya? Alhamdulillah, masih kuat untuk menghadapi semua ini dengan tenang. Sejujurnya, saya tidak keluar rumah langsung selepas AJL.

“Bukan sebab lemah atau takut, tetapi saya rasa lebih baik luangkan masa bersama kucing-kucing di rumah. Itu lebih penting daripada sibuk membaca komen negatif.

“Tapi tak boleh lari, benda negatif tetap akan sampai. Walaupun saya cuba elak, pasti ada yang datang melaporkan pada saya. Saya faham, semua orang bebas bercakap apa sahaja,” katanya.

Terdahulu, Aina menjadi sasaran kecaman hebat termasuk buli siber dan ‘face shaming’ selepas persembahan di AJL39.

Segelintir netizen seperti tidak menghargai bakatnya, malah ada yang bersorak gembira ketika dia gagal membawa pulang hadiah utama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top