norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Acara kemuncak Anugerah Bintang Popular BH Ke-37 (ABPBH37) sememangnya ditunggu-tunggu ramai dan akan berlangsung di Hotel Premiera Kuala Lumpur, malam esok.
Disiarkan TV3 jam 9 malam pastinya debaran menanti antara finalis yang bertanding bagi 16 kategori utama ABPBH37, siapakah yang bakal membawa pulang trofi berprestij itu?
Apakah penyanyi Aina Abdul mampu mempertahankan kemenangannya untuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH37 sekali lagi selepas berjaya meraihnya pada tahun lalu.
Tidak mustahil skrip sama berulang kerana penyanyi lagu Sumpah dan Semalam ini mempunyai pasukan kelab peminat, Ainations yang kuat dan rajin menghantar undian untuk idola kesayangan mereka.
Pada ABPBH37 ini, Aina masih dipertandingkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular dengan pencabar terdekatnya penyanyi, Ernie Zakri yang difahamkan menyimpan impian untuk menang.
Bagaimanapun semua itu rezeki kerana semestinya selain Aina dan Ernie, finalis lain bertanding dalam kategori Penyanyi Wanita Popular sudah tentu bukan calang-calang hebatnya.
Penganjuran ABPBH setiap tahun oleh Berita Harian ini memberi pengiktirafan tidak hanya di bidang nyanyian, tetapi lakonan filem & TV, radio, pengacaraan, komedi, gandingan serasi serta lagu popular.
Bagaimanapun, pada ABPBH37 kali ini didapati juga penampilan pelakon Fattah Amin begitu menarik perhatian ramai, apatah lagi dengan jolokan FattMira yang disokong isterinya, Amira Othman.
Fattah sebelum ini pernah menang kategori Pelakon TV Lelaki Popular serta dinobatkan Bintang Paling Popular di ABPBH30 pada 2017 nampaknya kembali semula bersaing sengit dengan finalis lain.
Bahkan kehadirannya dan Amira pada sesi ‘Meet & Greet’ Bersama Top 10 ABPBH37 baru-baru ini cukup menjadi tumpuan peminat.
Ditambah, dia juga merendah diri dan ramah memberikan layanan.
Difahamkan Fattah turut berentap dalam dua kategori utama iaitu Aktor TV Popular dan Aktor Filem Popular di ABPBH 37 dan dia meluahkan rasa syukur dengan pencalonan itu.
Menurut Fattah, dia bersyukur dan berterima kasih dengan pencalonan diterima itu termasuk beberapa pencalonan lain membabitkannya dan Amira dalam kategori Ekstra!.
“Peminat banyak membantu saya selama ini dalam kerjaya seni. Tanpa sokongan peminat, siapakah artis. Terima kasih atas sokongan kepada saya dan juga Amira.
“Kami hanya mampu memberikan yang terbaik kepada peminat dalam karya produk dihasilkan. Bagi ABPBH37 ini, saya serahkan pada rezeki,” katanya.
Malam kemuncak ABPBH37 akan dikemudikan dua gandingan pengacara wanita yang ‘gila-gila’ iaitu Raja Azura bersama penyanyi juga pelakon Shiha Zikir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




