Lawatan Tharman perkukuh hubungan Singapura-Malaysia

Lawatan Tharman perkukuh hubungan Singapura-Malaysia

PETALING JAYA: Lawatan selama tiga hari Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam ke Malaysia dilihat akan terus memperkukuhkan hubungan istimewa kedua-dua negara demi menjamin kemakmuran rakyat dan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hari ini mengiringi di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Sambutan Rasmi sempena lawatan Tharman di Istana Negara di sini.

“Saya kemudiannya menyertai Seri Paduka Baginda dalam pertemuan bersama Presiden Tharman serta delegasi Singapura sebelum diraikan Baginda dalam Majlis Jamuan Negara.

“Semoga hubungan istimewa Malaysia-Singapura akan terus diperkukuh demi kemakmuran rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Tharman tiba di Malaysia malam tadi bagi memulakan lawatan negara selama tiga hari bermula hari ini hingga 15 Julai atas undangan Sultan Ibrahim.

Ini lawatan negara pertama Tharman ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden Singapura pada 14 September 2023.

Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia dan rakan dagang terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (AS$93.97 bilion) pada 2025, mewakili peningkatan 1.5 peratus berbanding 2024.

Dari Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan dua hala meningkat 14.5 peratus kepada RM189.90 bilion (AS$47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (AS$37.65 bilion) dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025.- UTUSAN

Scroll to Top