Air mata dah 'sebati'

Air mata dah 'sebati'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Mengimbau perjalanan karier lakonan Titi Kamal, 44, di Malaysia pada 2002, siapa yang tidak suka dengan watak Maura lakonannya dalam filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC).

Tidak hanya itu, Titi berjaya mengukuhkan lagi namanya di negara ini dengan lakonan mantap dalam filem Eiffel I’m in Love sebagai Intan pada 2003.

Namun, lebih 20 tahun berlalu ternyata Titi yang juga ibu kepada dua cahaya mata ini sudah berjaya memiliki kelompok peminat tersendiri di Malaysia.

Seiring masa berlalu, Titi juga kini cenderung muncul dengan karya air mata dalam filem yang memaparkan kisah kekeluargaan dan kecekalan wanita.

Mengulasnya, Titi memaklumkan dia yang berstatus isteri dan ibu sangat berasakan karya mengenai keluarga, kasih sayang pada anak cukup dekat di hatinya.

“Jadi, saya okay saja untuk watak sebegitu yang memerlukan bermain emosi dan air mata. Ini kerana, hati saya memang cepat tersentuh.

“Malah, di set penggambaran bila pengarah kata ‘action’, saya sudah menangis kerana apa yang diinginkan watak itu, saya rasai.

“Sebagaimana watak Zalina dalam filem Tabayyun, saya banyak menangis sampai ada ketikanya saya minta pada pengarah untuk tidak menangis lagi,” katanya.

Menurut isteri pelakon Christian Sugiono ini, tetapi air matanya automatik akan gugur dan akhirnya akibat banyak menangis, mata jadi bengkak.

Sebelum ini, pada 2023 lalu Titi muncul dengan watak air mata dalam filem Air Mata Di Ujung Sejadah sebagai Aqilla Hamka yang diadaptasi daripada novel.

“Saya suka bawakan watak novel dalam lakonan kerana benar-benar dapat rasai kesakitan watak itu. Lebih-lebih lagi, ibu tunggal yang ada anak.

“Macam filem Tabayyun, ia juga kisah yang diangkat daripada novel popular dari penulis Indonesia. Banyak mesej baik yang boleh kita kongsi dalam novel itu.

“Apatah lagi, saya sendiri sudah baca novelnya dan secara tidak langsung dapat memahami kesakitan wanita yang harus menanggung tanggungjawab tanpa suami,” katanya.

Dalam filem Air Mata Di Ujung Sajadah sebelum ini menggandingkan Titi dengan pelakon seperti Fedi Nuril, Citra Kirana, Faqih Alaydrus dan Jenny Rachman.Manakala Tabayyun pula membariskannya beraksi dengan rakan pelakon berkaliber iaitu Naysila Mirdad, Ibrahim Risyad, Jenny Rachman, Farrell Rafisqy dan Siti Fauziah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top