BUCHAREST: Selepas bergelut pada Kejuaraan Eropah 2016, Austria membuka kempen kali ini dengan kemenangan besar.
Penjaring gol Austria, Michael Gregoritsch jelas ‘tenggelam’ dalam emosinya selepas membantu negaranya meraih kemenangan pada aksi pembukaan Euro 2020 ke atas Macedonia Utara.
Gregoritsch meledak gol kedua untuk meletakkan nama selaku penjaring bersama Stefan Lainer dan Marko Arnautovic pada aksi yang berakhir dengan keputusan 3-1 itu.
Dengan kemenangan itu, penyerang Augsburg berkenaan mengakui dia ‘terharu’ selepas menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan utama.
“Sangat menakjubkan. Jaringan ini adalah segalanya untuk saya,” katanya kepada ORF sambil menitiskan air mata.
“Hari ini adalah hari lahir abang saya. Saya mengharungi tahun yang sukar. Ia (jaringan ini) untuk mereka yang percaya pada saya, keluarga dan teman wanita. Sangat mengagumkan, ia berkelas dunia.”
Dia turut berkata ‘saya mengharungi tahun yang sukar selama dua tahun dan tidak menjangkakan akan membarisi skuad kali ini’.
“Saya berikan segalanya pada sesi latihan dan syukur kepada Tuhan, saya dapat menjaringkan gol. Saya sangat terharu ketika ini.” – Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd




