am@hmetro.com.my
Kuantan: Hujan berterusan sejak kelmarin di daerah ini menyebabkan pekan Sungai Lembing dilanda banjir kilat, hari ini.
Difahamkan, paras air sungai naik bermula 9 pagi menyebabkan berlaku limpahan dan menjejaskan Pekan Sungai Lembing.
Bagaimanapun, kenderaan ringan masih boleh melalui laluan utama dan banjir dilapor surut pada 3 petang.
Terdahulu video tular di media sosial mengenai banjir kilat yang berlaku di pekan itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Muhammad Ayub Mat Ashri ketika dihubungi berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Menerusi Info Banjir Pahang, Sistem Pengoperasian Hidrologi Telemetri Negeri, paras air Sungai Kuantan di Bukit Kenau di sini melepasi paras amaran iaitu 20.99 meter berbanding 20.75 meter setakat 3.45 petang.
Tujuh sungai lagi melepasi paras waspada iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, di sini dengan merekodkan 51.19 meter; Sungai Kenau di Sungai Rimau, Kuantan (34.76 meter); Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut (64.66 meter) dan Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut (57.28 meter).
Turut melepasi paras waspada Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran (25.76 meter), Sungai Telemong di Telemong, Bentong (98.35 meter) dan Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis (96.93 meter).
© New Straits Times Press (M) Bhd




