am@hmetro.com.my
Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menemukan paip, disyaki tanpa kebenaran susulan insiden Sungai Kabul, Beranang berwarna merah jambu, semalam.
Penemuan itu dikesan menerusi pemerhatian susulan di sekitar Kawasan Perindustrian Mahkota, hari ini.
Luas menerusi hantaran di Facebook berkata, pihaknya juga mengesan aliran air berwarna merah jambu keluar daripada paip tersebut yang masuk ke alur buatan dan seterusnya ke Sungai Kabul.
Agensi itu menyelaraskan tindakan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk penutupan segera paip yang belum dikenal pasti punca alirannya.
“Ini bagi mengurangkan risiko kepada Sungai Kabul, Sungai Beranang dan seterusnya Sungai Semenyih,” katanya.
Sementara itu, LUAS berkata, kerja-kerja pembersihan oleh premis yang terbabit sudah selesai dilaksanakan.
“Pemantauan juga ditingkatkan di lokasi-lokasi berkaitan di hulu Sungai Kabul. Keadaan semasa Sungai Beranang dan Sungai Semenyih adalah terkawal dan LUAS serta agensi-agensi terlibat sedang giat melaksanakan semakan dan pemantauan rapi di tapak,” katanya.
Semalam, media melaporkan Luas mengaktifkan Kod Kuning selepas mengesan aliran air berwarna merah jambu sepanjang anggaran 500 meter.
© New Straits Times Press (M) Bhd




