Bagasi pink cetus panik, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam ditutup dua jam

Bagasi pink cetus panik, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam ditutup dua jam

am@hmetro.com.my

Bukit Kayu Hitam: Bangunan Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini gempar dengan penemuan sebuah bagasi yang ditinggalkan di ruang pemeriksaan Imigresen/Kastam Blok B, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, beg bagasi berwarna merah jambu itu ditemui jam 5.55 petang.

Beliau berkata, selepas mendapati tiada sesiapa menuntut beg terbabit, ia kemudian dibawa ke mesin pengimbas untuk diimbas.

“Selepas imbasan dilakukan, pihak Kastam mendapati imej terbabit mengandungi bahan disyaki dadah dan letupan.

“Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah tiba ke lokasi kejadian jam 8.45 malam.

“Mereka kemudian melakukan proses meneutralkan bagasi itu selepas menilai risiko yang ada di sekeliling kawasan bangunan dengan mengutamakan keselamatan nyawa, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Radzi berkata, Kompleks ICQS juga ditutup dari jam 9.30 sehingga 11.30 malam untuk proses ‘neutralise’ oleh unit pemusnah bom IPK Kedah.

Beliau berkata, bagasi itu berjaya dibuka jam 11 malam dan didapati tiada unsur bahan letupan ditemui.

Katanya, pemeriksaan menemui terdapat baju, minyak di dalam bekas, pengering rambut warna hitam, syampu dan losyen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top