Penyanyi popular, Datuk Aishah kecewa apabila tiket konsertnya ‘Aishah 40 Chapters Of Love’ disabotaj.
Menurutnya, penjualan tiket yang dibuka pada awal April lalu mengalami gangguan teknikal selepas peminatnya mengadu tidak dapat membeli tiket berkenaan disebabkan tiket habis terjual selain laman rasmi tersebut turut terganggu.
“Kami dapat tahu selepas menerima banyak aduan peminat yang memaklumkan mereka tidak dapat membeli tiket. Masa tu dah tak boleh nak fikir apa.
“Senang cerita, memang masalah sistem untuk penjualan tiket yang berlaku sangat memusingkan kepala saya. Tetapi dengan apa yang terjadi itu, kita ‘move on” sahaja.
“Hendak sedih lama-lama pun tak bagus. Jadi, kita kena cepat bertindak,” katanya.

Aishah berkata demikian ketika ditemui pada sesi sidang media konsert sulungnya yang diadakan di Restoran Rebung, Kuala Lumpur pada Selasa.
Meskipun berasa sedih dengan masalah teknikal yang berlaku, pelantun lagu popular, Camar Yang Pulang ini mengaku, wujudnya unsur penipuan dalam penjualan tiket konsertnya.
“Saya memang menangis bila dapat tahu. Tapi kami tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Apa yang penting sekarang adalah menjelaskan kekeliruan ini kepada peminat kerana ramai peminat yang hubungi saya bertanya macam mana mereka nak beli tiket?
“Jadi disini, saya memohon bantuan daripada rakan media untuk menghebahkan semula bahawa kami sudah menukar ‘vendor’ tiket kepada platform baharu iaitu ticketmelon.com.
“Mana-mana peminat yang sebelum ini tidak dapat membeli tiket konsert saya harapnya boleh membuat urusan pembelian yang lebih lancar menerusi platform baru berkenaan,” jelasnya.
Sekadar info, ‘Aishah 40 Chapters of Love’ yang bakal berlangsung pada 4 Julai 2026, jam 8.00 malam di Megastar Arena ini dianjurkan oleh Vox Nation Live.
Konsert ini menandakan sebuah detik penting dalam perjalanan seni Aishah dalam meraikan empat dekad legasi muzik yang telah mengukir nama beliau sebagai antara ikon paling berpengarh dalam industri hiburan tanah air.
Maklumat penjualan tiket
Penjualan tiket kini boleh didapati secara rasmi melalui platform baharu, iaitu Ticketmelon di https://www.ticketmelon.com/voxnationlive/aishah40
Kategori tiket adalah seperti berikut:
● RM788 – VVIP
● RM488 – VIP
● RM488 – Janji Manismu (Ladies Zone)
● RM388 – Sensation
● RM288 – Paradise
● RM238 – Kasih Kita
● RM198 – Pulanglah
● RM168 – Taman Keabadian




