Pelbagai usaha digemblengkan oleh golongan Salafi Wahabi demi matlamat untuk menerapkan kepada umat Islam akidah berkaitan sifat Allah SWT yang mereka anuti. Mereka mahu umat Islam meyakini bahawa sifat istiwa’, yad, wajh, ‘ayn, nuzul, qadam, surah dan seumpamanya sebagai imej atau fizikal bagi Tuhan yang hanya tidak diketahui kaifiatnya. Namun, ulama Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) Asya’irah dan Maturidiyyah menjadi batu penghalang kepada matlamat mereka itu. Ini kerana ulama ASWJ berpegang teguh dengan prinsip bahawa sifat-sifat tersebut adalah berbentuk mutasyabihat yang perlu diserahkan tafsiran sebenarnya (tafwidh) kepada Allah SWT sendiri. Adapun mentakwilkannya berdasarkan kaedah muktabar adalah diharuskan untuk mengelakkan umat Islam daripada mempercayai sifas-sifat tersebut sebagai imej atau fizikal Tuhan yang tidak dimaklumi bentuknya.
Pegangan ulama ASWJ kepada fahaman ini ditentang hebat oleh golongan Salafi Wahabi. Justeru, menuduh mereka dengan berbagai-bagai tohmahan seperti mendakwa fahaman tersebut adalah pengaruh daripada falsafah Yunani dan mantik Aristotle. Walhal, Aristotle tiada membahaskan sama sekali mengenai konsep kewujudan Tuhan. Sebaliknya, ia hanya menggariskan konsep kewujudan benda. Antaranya ialah setiap benda wujud mempunyai jawhar (zat benda) dan ‘aradh (sifat benda), yang turut dianggap sebagai asas kepada ilmu sains.
Kanun berfikir yang betul mengenai benda sebenarnya sudah wujud sebelum munculnya Aristotle dan tamadun Yunani. Hanya kearifan mereka dianggap sebagai tanda kemuncak perkembangan ilmu logik dalam tamadun manusia semenjak turunnya Nabi Adam AS. Sebab itu, kearifan mereka tidak ditolak sepenuhnya oleh ulama Islam yang menggunakan al-Quran dan sunah sebagai neraca utama untuk menyaring semua ilmu yang diterima daripada umat-umat terdahulu. Melalui kedua-duanya, mereka mengetahui mana perkara yang bercanggah dan yang tidak bercanggah dengan syarak.
Maka, pandangan Aristotle mengenai konsep kewujudan benda itu diterima oleh ulama Islam, bahkan disaring sesuai dengan kebijaksanaan dan kearifan mereka. Melaluinya, ia dijadikan parameter untuk membezakan antara kewujudan benda dan kewujudan Tuhan yang sudah pasti tidak sama hakikatnya. Jelas disebut dalam al-Quran mengenai kewujudan Tuhan yang bermaksud: “Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan-Nya (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya).” (Surah as-Syura: 11). Maka, ulama ASWJ menegaskan bahawa Tuhan itu mestilah bukan jawhar dan bukan ‘aradh yang merupakan ciri jisim. Penegasan ini dikemukakan dalam banyak kitab ASWJ Asya’irah dan Maturidiyyah. Antara yang paling awal menyebutkannya ialah kitab al-Fiqh al-Akbar yang dinisbahkan kepada Imam Abu Hanifah (wafat 150H).
Saranan mengenal kewujudan benda untuk mengenal kewujudan Allah SWT sebenarnya banyak diajarkan oleh al-Quran sendiri. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi, dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka?” (Surah al-A’raf: 185).
Demikian konsep Qurani yang diterapkan dalam kitab ASWJ Asya’irah dan Maturidiyyah, termasuk Umm al-Barahin oleh Imam as-Sanusi (wafat 895H). Begitu juga mengenai perbahasan hukum aqli yang dibahagikan kepada wajib, mustahil dan harus. Ini semua bukan sahaja dipelajari oleh Asya’irah dan Maturidiyyah, malah Hanabilah pun turut menyatakan ia wajib dipelajari bagi mengenal Allah SWT. Ia merupakan cara berfikir betul yang Allah SWT tetapkan bagi orang-orang yang berakal.
Hanya orang yang dungu sahaja menolaknya sambil duduk bergoyang kaki kerana akalnya sudah tidak perlu lagi digunakan. Lantas tanpa segan silu ia menuduh majoriti ulama Islam (Asya’irah, Maturidiyyah dan Hanabilah) ‘gunung- gunung’ ilmu dalam disiplin pengajian Islam sepanjang tempoh lebih seribu tahun adalah Islamized Aristotelianism kerana sanad mereka adalah daripada Aristotle! Secara delusi, ia mendakwa konsep kewujudan benda Aristotle telah diislamkan. Walhal sama sahaja kalau ia mendakwa, sains, matematik, astronomi, fizik, malah semua ilmu duniawi telah diislamkan apabila dipelajari orang Islam. Sudah tentu ini merupakan satu falasi yang sangat parah!
Ia mungkin cuba mengangkat ilmu logik Syeikh Ibnu Taymiyyah yang cuba lari daripada kearifan Yunani, termasuk perbahasan jawhar dan ‘aradh, kononnya ulama Salaf tidak menuturkannya. Padahal, majoriti Salaf memang tidak membincangkan tentang konsep kewujudan benda kerana ia ilmu duniawi (akal), bukan ilmu ukhrawi (wahyu) yang menjadi fokus utama mereka. Namun, akhirnya beliau terperangkap dalam ilmu logiknya sendiri sehingga tidak ada beza antara fahaman Hasyawiyyahnya dengan fahaman Mujassimah Musyabbihah kecuali pada menetapkan Allah itu berjisim (tajsim sorih). Manakala beliau tidak menetapkan mahupun menafikan Allah itu berjisim (tajsim ghair sorih).
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd