Spurs sedia ketepikan cabaran Leeds

Spurs sedia ketepikan cabaran Leeds

LONDON: Pengurus Tottenham, Roberto de Zerbi mengakui pasukannya bakal berdepan cabaran sengit menentang Leeds dalam aksi liga Selasa ini dalam usaha mereka untuk menjarakkan diri daripada zon penyingkiran.

De Zerbi berkata, prestasi cemerlang Leeds dalam beberapa perlawanan terakhir membuktikan mereka berada dalam momentum terbaik, termasuk kemenangan ke atas Manchester United, seri ketika menentang Bournemouth serta dua kemenangan di tempat sendiri menentang Wolves dan Burnley.

“Disebabkan itu, kami menghormati mereka. Kami tidak boleh berfikir dengan cara yang berbeza. Kami perlu mengekalkan mentaliti ini. Kami mesti kekal merendah diri. Tiada apa yang berubah. Kami perlu bersedia untuk perlawanan yang penting.

Jurulatih dari Itali itu turut menekankan kepentingan mengekalkan prestasi positif pasukan yang dipamerkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini menentang Wolves, Brighton dan Aston Villa.

“Kami perlu fokus kepada perlawanan seperti ini dengan sikap yang betul, semangat yang tinggi dan menunjukkan kualiti pemain yang kami ada,” katanya.

Mengulas lanjut, De Zerbi mengakui dia tidak dapat menurunkan penjaga gol, Guglielmo Vicario selepas dia masih belum cergas sepenuhnya.

“Tidak, Vicario masih belum bersedia. Saya tidak tahu apa perancangannya, tetapi dia sedang menanggung kesukaran kerana dia mahu membantu pasukan dan membantu rakan sepasukannya, namun dia masih belum boleh diturunkan,” katanya.

De Zerbi turut menambah, dia mahu mengekalkan khidmat pemain pinjaman dari Bayern Munich, Joao Palhinha sehingga musim hadapan. – AGENSI

 

Scroll to Top