am@hmetro.com.my
Putrajaya: Penyanyi kumpulan Akim & The Majistret iaitu Akim akan menapis dan lebih berhati-hati dalam memilih penganjur konsert kerana tidak mahu timbul sebarang masalah.
Akim berkata, dia pernah berdepan dengan isu konsert yang dijayakan bersama Tomok, Hazama dan Black yang dibatalkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Kami rasa tidak ‘best’ (tidak gembira) bila ramai peminat yang sudah beli tiket hantar DM (direct message) mengenai isu konsert berkenaan.
“Jadi, pihak kami (barisan artis) berasa terpanggil buat laporan polis untuk selesaikan isu konsert termasuk usahakan wang peminat yang membeli tiket dikembalikan,” katanya.
Namun, kata Akim, dia tidak serik untuk terbabit dalam mana-mana konsert walaupun pernah berdepan insiden sebegitu.
“Penganjuran konsert penting untuk merancakkan industri muzik dan membuka mata masyarakat untuk sokong konsert artis tempatan kerana kita mempunyai ramai bakat yang bagus,” katanya.
Dalam pada itu, Akim & The Majistret akan mengadakan konsert mereka pada Jun depan.
“Kami ada dapat tawaran untuk buat konsert dan ia masih dalam perbincangan lagi.
“Saya percaya penganjur kali ini ada strategi sendiri yang lebih baik ,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd