sukan@hmetro.com.my
Sungai Petani: Pernah terdetik untuk meninggalkan sepak takraw akibat kecederaan buku lali, namun semangat yang diberikan jurulatih serta sokongan keluarga menjadi pembakar buat Ahmad Akmal Arif Ahmad Zamanhuri untuk terus bertahan hingga dinobatkan sebagai tekong terbaik Zon Utara Liga Takraw Nasional Mekdi 2026.
Bagi pemain Highlander A itu, pengiktirafan berkenaan cukup bermakna selepas melalui pelbagai cabaran sebelum mampu membuktikan kemampuan di kejohanan yang berlangsung di The Arena of Sport, di sini.
Akmal yang berasal dari Ipoh, Perak dan bersekolah di SMK Gunung Rapat mengakui kecederaan buku lali pernah menguji ketabahannya, malah membuatkannya terfikir untuk berhenti daripada sukan yang diminatinya itu.
Namun, dorongan jurulatih yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat, selain sokongan ibu bapa, membuatkan Akmal kembali menguatkan tekad untuk meneruskan perjuangan dalam sukan berkenaan.
“Saya pernah mengalami kecederaan buku lali hingga terfikir untuk berhenti bermain sepak takraw, tetapi kata-kata semangat jurulatih dan sokongan ibu bapa membuatkan saya terus bertahan.
“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bermain dan pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus memperbaiki permainan,” katanya.
Akmal kini memasang impian untuk menyarung jersi kebangsaan suatu hari nanti, malah berharap dapat merealisasikan cita-cita itu bersama rakan-rakannya.
“Insya-Allah, jika ada rezeki, saya mahu mewakili Malaysia bersama-sama kawan saya,” katanya yang menjadikan Hairul Hazizi sebagai idola.
Sementara itu, Wan Muhammad Azieq Wan Mohd Zaki turut mencipta kenangan manis apabila dinobatkan sebagai apit kanan terbaik, manakala rakan sepasukannya dari ALFA Cafe MIBJ D, Muhammad Danish Irfan Beri’uldaini, meraih anugerah apit kiri terbaik.
Bagi Azieq, pengiktirafan itu menjadi ganjaran bermakna terhadap usaha kerasnya menjalani latihan, selain sokongan keluarga, jurulatih dan rakan-rakan yang sentiasa berada di belakangnya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana menerima pengiktirafan ini. Bagi saya, ini satu pencapaian yang sangat bermakna selepas penat lelah menjalani latihan selama ini, selain doa keluarga, jurulatih dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong saya,”katanya.
Azieq yang mula meminati sepak takraw ketika berusia 10 tahun berkata, minatnya terhadap sukan itu tercetus daripada pengaruh abang-abangnya dan bapanya.
Dia turut menyimpan impian untuk mewakili Malaysia, selain menjadikan pemain negara Khairul Zaman sebagai idola bagi mendorongnya terus meningkatkan kemampuan dalam sukan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




