Syamim Freida gesa netizen Malaysia, Indonesia henti berbalah

Syamim Freida gesa netizen Malaysia, Indonesia henti berbalah

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Toh Puan Syamim Freida berharap perbalahan antara netizen Malaysia dan Indonesia di media sosial tidak berpanjangan demi menjaga hubungan baik dua negara jiran serumpun.

Syamim, 35, yang pernah menetap sementara di Jakarta ketika mengikuti pengajian di sekolah lakonan menjelaskan, perkara itu amat sensitif untuk diulas kerana membabitkan hubungan silaturahim serta ikatan kekeluargaan.

“Sebenarnya saya ada nampak video-video (perbalahan) yang tular itu. Saya sendiri tak berani nak cakap lebih-lebih sangat sebab ini isu yang sangat sensitif. Sebab kita pun berjiran, dan kita sebenarnya serumpun juga.

“Saya sendiri ada ahli keluarga di sana… di sebelah suami saya. Jadi saya harap perkara ini tak berpanjangan. Nak boikot sesama sendiri pun saya tak tahu nak cakap macam mana, takut kalau salah cakap pula,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai punca perbalahan itu, Syamim tidak menafikan provokasi melampau di platform digital menjadi pencetus netizen kedua-dua negara saling ‘menyerang’ antara satu sama lain.

“Mungkin sebenarnya isu dia pasal bola sepak, selepas itu berpanjangan. Perbalahan ini selalunya antara netizen dengan netizen sahaja.

“Kita faham memang ada bermacam-macam pandangan, tapi pada penghujungnya, kita sebenarnya sama sahaja dan kena saling menghormati antara satu sama lain. Harapan saya janganlah bergaduh, itu sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syamim menepis dakwaan menyepi atau berhenti daripada bidang lakonan.

Sebaliknya, dia meluangkan masa hampir setahun berulang-alik ke Jakarta pada 2024 untuk mendalami ilmu seni lakonan sebelum kembali aktif menerusi drama Setiaku Berdiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top