Empat warga Indonesia dipenjara lima bulan kerana menggunakan cop palsu pada pasport

Empat warga Indonesia dipenjara lima bulan kerana menggunakan cop palsu pada pasport

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Empat warga Indonesia masing-masing dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan cop palsu pada pasport mereka ketika memasuki Malaysia, minggu lalu.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka masing-masing dibacakan hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Hakim turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Mengikut pertuduhan, Rahmawati, 39; Rahma, 52; Sumkiah, 57; dan Ahmad Rifat Ramadani, 20, didapati menggunakan cop palsu itu ketika menaiki sebuah bas ekspres di Gua Musang, pada tengah malam pada 10 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, 29 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) masing-masing dihukum penjara dan denda atas pelbagai kesalahan imigresen.

Mereka dihukum penjara antara tiga dan lima bulan, manakala ada didenda sehingga RM10,000.

Mereka terdiri daripada 24 warga Indonesia, dua warga Bangladesh, dua warga Myanmar dan seorang warga Vietnam, yang kesemuanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Seramai 22 daripadanya didakwa bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kerana tinggal lebih masa, manakala baki tujuh orang didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Seksyen 15(1)(c) memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Seksyen 6(1)(c) akta sama pula memperuntukkan denda tdak kurang daripada RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau sebatan tidak lebih daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi semua kes dikendalikan oleh Siti Khaidijah Khairuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top