PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap kandungan media sosial yang disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.
MCMC berkata, siasatan itu dijalankan susulan aduan berhubung kandungan yang dimuat naik menerusi platform Threads yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Katanya, sebagai sebahagian daripada proses siasatan, pihaknya telah merakam percakapan seorang individu di Balai Polis Labu bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti fakta berkaitan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Turut disita bagi membantu siasatan ialah satu unit telefon bimbit berserta eSIM untuk tujuan analisis forensik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya dalam kenyataan.
Suruhanjaya itu berkata, pihaknya turut meneliti aspek penyebaran kandungan berkenaan menerusi platform media sosial selain bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan sekiranya terdapat unsur kesalahan lain yang memerlukan tindakan mengikut undang-undang berkuat kuasa.
“MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab, berlandaskan undang-undang serta menghormati institusi diraja.
“Sebarang tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan proses perundangan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN




