
Tangkap layar kenyataan media PERKESO pada Selasa.
SHAH ALAM – Perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja gig akan mula aktif selepas berdaftar dengan penyedia perkhidmatan platform dan menerima tugasan pertama.
Mekanisme perlindungan secara pascabayar itu memperuntukkan perlindungan bagi tempoh setahun sebaik pekerja gig memenuhi dua prasyarat awal tersebut.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, perincian tersebut diutarakan ketika sesi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Menurut PERKESO, pendekatan perlindungan itu sekali gus meredakan kebimbangan sekiranya pekerja gig menjana pendapatan secara separuh masa atau sambilan.
“Selepas memenuhi dua prasyarat awal, status perlindungan PERKESO masih aktif walaupun pekerja gig tidak menerima tempahan selama beberapa hari atau belum sempat mencukupkan bayaran caruman minimum iaitu RM13.10 sebulan.
“PERKESO kekal komited untuk memudah cara dan menangani sebarang kerenah birokrasi terhadap penguatkuasaan Akta 872 demi memastikan hak pekerja gig kekal terbela, khususnya dalam mendapat perlindungan keselamatan sosial,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kebimbangan Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM) mengenai jaminan dan status perlindungan PERKESO melalui skim LINDUNG Kendiri.
Setiausaha RPM, Kamarulzaman Ahmad menggesa PERKESO menjelaskan mekanisme pelaksanaan skim itu di bawah Akta Pekerja Gig 2025.
Katanya, langkah itu bagi memastikan tiada pemandu e-hailing atau penghantar p-hailing tercicir daripada perlindungan sosial ketika berlaku kemalangan.
Mengulas lanjut, PERKESO memaklumkan, Seksyen 83(e) Akta 872 memperuntukkan kewajiban penyedia platform untuk memaklumkan kepada pekerja gig supaya membayar baki caruman bulanan minimum.
Tambah pertubuhan itu, peruntukan undang-undang tersebut terpakai sekiranya jumlah caruman yang dipotong oleh penyedia platform tidak mencapai kadar minimum caruman berdasarkan pendapatan bulanan diinsuranskan sepertimana dipilih di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
“Pekerja gig juga boleh menyemak jumlah caruman terkumpul dan status perlindungan menerusi aplikasi Prihatin,” ujar PERKESO lagi.



