Barisan Nasional (BN) menegaskan gabungan itu tidak pernah mengkhianati Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kekal komited untuk memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara sehingga mandat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU15 adalah berteraskan tanggungjawab kenegaraan bagi mengelakkan negara terheret ke dalam polemik politik berpanjangan.
“Justeru, tidak timbul persoalan BN mengkhianati Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen BN untuk terus memainkan peranan dalam memastikan kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Kenyataan itu dipercayai sebagai respon terhadap kritikan berterusan dalam kalangan penyokong serta pemimpin Pakatan Harapan yang mendakwa BN cuba mengkhianati kerjasama politik sedia ada.
Ia susulan beberapa perkembangan semasa termasuk pengumuman Barisan Nasional Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebelum ini, tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan yang didakwa menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut mencetuskan kritikan dan perdebatan politik.
Mengulas perkara itu, Zambry berkata BN pusat menghormati pendirian BN Johor berhubung hala tuju dan persiapan menghadapi PRN akan datang.
“(Pendirian tanding di semua kerusi DUN) selaras pandangan semua pihak dalam parti komponen BN Johor,” katanya.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz sebelum ini dilaporkan menegaskan keputusan untuk bertanding di semua kerusi DUN adalah selaras mandat rakyat serta usaha memperkukuh agenda pembangunan negeri melalui Agenda Maju Johor 2030.
Sumber: FB Barisan Nasional




