sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Biarpun debut pertama diperagakan duo Tajikistan, Ehson Panshanbe dan Shervoni Mabatshoev, kelibatnya mendapat pujian kem Terengganu FC (TFC).
Ketua jurulatih interim skuad itu, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, biarpun baharu bersama pasukan, namun aksi dua pemain import itu tidak mengecewakan.
Jelasnya, kehadiran pemain kebangsaan itu dilihat memberi impak yang positif buat pasukan selepas kehilangan dua pemain tonggak sebelum ini, Nurillo Tukhtasinov dan Yann Mabella.
Bagaimanapun tegas bekas ‘arkitek’ skuad kebangsaan dan Terengganu itu, masih ada aspek yang perlu diperkemaskan lagi dalam mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
“Secara keseluruhan kami berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan oleh dua pemain import baharu dari Tajikistan itu walaupun kali pertama beraksi bersama TFC.
“Saya lihat pemain tengah, Panshanbe dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama rakan sepasukannya biarpun baharu beberapa kali menjalani latihan.
“Bagaimanapun penyerang, Mabatshoev masih mencari rentak, jadi ia perlu diperbaiki, namun perkara itu adalah biasa buat mana-mana pasukan lebih-lebih lagi dia masih baharu dalam pasukan, sudah tentu mengambil sedikit masa.
“Namun secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan corak permainan dua pemain itu, begitu juga pemain lain yang masing-masing memahami tugas yang diberikan,” ujar Tengku Hazman ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.
Pada perlawanan ke-15 itu, pemain serba boleh, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob muncul wira buat TFC selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-42 memastikan skuadnya meraih tiga mata penuh menundukkan kelab Brunei, DPMM FC 1-0.
© New Straits Times Press (M) Bhd


