PETALING JAYA: Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang berkuat kuasa hari ini, dengan memberi manfaat kepada tujuh juta pencarum.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, pindaan Akta 800 memperuntukkan tiga penambahbaikan faedah antaranya peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) berbanding 25 peratus sebelum ini.
Katanya, penambahbaikan yang menyediakan faedah secara purata RM3,300 bagi setiap individu ini mampu merancakkan pasaran buruh negara, selain menjadi pemangkin ke arah tempoh peralihan kerjaya yang lebih cepat.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Turut diperkukuh ialah lonjakan had maksimum Fi Latihan kepada RM7,000 berbanding RM4,000, dan peningkatan Elaun Latihan kepada RM30 sehari.
“Pindaan ini juga menyaksikan pengenalan faedah baharu iaitu Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar kepada pencarum yang hilang pekerjaan serta menerima faedah SIP dan kemudian mendapat kerja baharu di lokasi yang jaraknya melebihi 100 kilometer dari kediaman.
“Justeru pencarum yang kehilangan pekerjaan boleh mengemukakan permohonan faedah berkenaan secara dalam talian melalui portal LINDUNG Kerjaya (https://lindungkerjaya.perkeso.gov.my/) atau di mana-mana kaunter Perkeso berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, pindaan Akta 800 yang sebelum ini dikenali sebagai Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 mendapat Perkenan Diraja pada 30 Ogos 2026 dan diwartakan pada 15 September lepas.
Pindaan ini melengkapkan agenda Kerajaan Madani ke arah mengukuhkan perlindungan sosial secara lebih menyeluruh, selari pelaksanaan LINDUNG 24 Jam pada 1 Jun lalu yang turut meliputi risiko kemalangan di luar waktu bekerja.
Mengulas lanjut, Perkeso menjelaskan, reformasi terbaharu ini bukan sekadar mengukuhkan jaringan perlindungan dalam dinamika pasaran buruh masa kini, sebaliknya turut disokong mekanisme peralihan kerjaya secara menyeluruh.
Penyediaan ekosistem serba lengkap yang dipacu oleh perkhidmatan pemadanan kerjaya melalui portal pekerjaan negara MYFutureJobs, khidmat nasihat kerjaya, latihan semula, peningkatan kemahiran dan sokongan mobiliti ini sekali gus mampu menjamin kelangsungan sosioekonomi masyarakat.
“Pada masa sama, Perkeso akan terus memperkukuh fungsi MYFutureJobs dengan memanfaatkan data dan maklumat pasaran buruh bagi membantu pencarum mengenal pasti peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran, pengalaman dan keperluan industri.
“Pendekatan ini penting supaya tempoh peralihan kerjaya berupaya disegerakan, manakala kemahiran yang dimiliki terus relevan dengan permintaan majikan dan perubahan struktur ekonomi,” menurutnya. – UTUSAN




