Aktif pada usia 73 tahun

Aktif pada usia 73 tahun

am@hmetro.com.my

Jeli: Walaupun sudah menjangkau usia emas, seorang penanam pisang di Kampung Kuala Balah di sini terus berbudi kepada tanah, malah usahanya itu membolehkannya menjana pendapatan lumayan setiap musim.

Mat Nawi Mamat, 73, berkata, dia menanam lebih 2,000 pokok pisang pelbagai jenis termasuk pisang nangka dan berangan di tanah miliknya yang berkeluasan empat hektar sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, tempoh masa tuaian pokok pisang adalah kira-kira enam bulan dan hasilnya dijual kepada pemborong pisang dalam dan luar Kelantan.

“Tanaman pisang menjadi pilihan disebabkan permintaan pasaran domestik yang tinggi selain harganya lebih stabil berbanding tanaman lain. Ia juga mudah diusahakan.

“Aspek penting bagi penanaman pisang ialah sumber air, cahaya dan baja mencukupi untuk memastikan pokok membesar dengan baik,” katanya.

Bapa kepada enam anak serta datuk kepada 23 cucu ini berkata, sekitar 1980-an, dia pernah menjadi peraih pisang namun disebabkan kesukaran mendapat bekalan mendorongnya untuk menanam sendiri tanaman itu, sekali gus menjadi pengeluar utama di sekitar Jeli serta beberapa daerah di Terengganu.

“Kebiasaannya, saya akan hantar sendiri bekalan pisang kepada pelanggan menggunakan lori atau pacuan empat roda.

“Saya sebolehnya mahu menghantar sendiri bekalan kepada pelanggan kerana kebanyakan adalah pelanggan tetap dan kami saling mempercayai di antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, dia mengerah keringat untuk membersihkan kebun pisangnya dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan bersih serta selamat.

“Alhamdulillah, walaupun sudah menjangkau usia emas, saya masih lagi mampu mengusahakan tanaman pisang secara sendirian.

“Saya galakkan golongan muda untuk menceburi bidang pertanian kerana ia bukan saja menjana pulangan lumayan malah meningkatkan kemajuan sektor pertanian negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top