SPRM sita 14 hartanah bernilai RM18.3 juta milik NGO

SPRM sita 14 hartanah bernilai RM18.3 juta milik NGO

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset tak alih bernilai lebih RM18.3 juta bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernilai kira-kira RM230 juta.

SPRM menerusi hantaran di TikTok mendedahkan, sitaan tersebut melibatkan 14 hartanah di beberapa lokasi membabitkan tujuh unit rumah kediaman, tiga unit ruang pejabat dan empat lot tanah.

Katanya, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM18,366,452.

“Tujuh rumah kediaman bernilai RM15,534,576,tiga ruang pejabat bernilai RM1,535,000 dan empat lot tanah bernilai RM1,296,876,” menurut hantaran itu, hari ini.

Difahamkan, antara hartanah yang disita termasuk sebuah banglo bernilai kira-kira RM10 juta, selain beberapa unit rumah lain.

Selain itu, sitaan yang turut membabitkan premis pejabat di lokasi komersial serta lot tanah di beberapa kawasan termasuk Marang, Terengganu, Temasya Glenmarie dan Kundang, Selangor.

Hari ini muka depan Harian Metro melaporkan, siasatan mendapati kutipan sumbangan untuk NGO berasaskan dakwah yang kononnya disalurkan kepada golongan memerlukan serta badan zakat telah diselewengkan untuk kepentingan peribadi sehingga membolehkan pihak terbabit hidup mewah.

Sumber turut memaklumkan, timbalan pengerusi NGO berkenaan dipercayai memindahkan kira-kira RM230 juta dana diseleweng ke dalam akaun syarikat miliknya bagi tujuan pelaburan dan peribadi.

Dalam operasi sebelum ini, SPRM turut menyita 18 kenderaan mewah termasuk Porsche dan Mercedes, selain membekukan 33 akaun bank bernilai kira-kira RM120 juta.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan terbaharu tidak membabitkan mana-mana institusi zakat di negara ini.

“Dalam siasatan terkini, NGO ini menerima dana sumbangan daripada pelbagai sumber termasuk komisen yang diperoleh untuk diserahkan kepada badan zakat.

“Bagaimanapun dana ini tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya, sebaliknya diseleweng untuk kepentingan peribadi termasuk pembelian aset mewah. Perbuatan itu adalah salah di sisi undang-undang dan siasatan dijalankan oleh SPRM,” katanya.

Terdahulu, dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi NGO direman empat hari sehingga 25 April bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM230 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top