Aktivis kebajikan Rusia berdepan penjara kerana mesej keamanan

Moscow: Aktivis kebajikan terkenal Rusia, Lida Moniava, 38, berdepan hukuman penjara bertahun-tahun selepas didakwa menyebarkan “maklumat palsu” mengenai tentera Rusia, susulan kritikannya terhadap perang di Ukraine.

Moniava yang sejak usia remaja membantu kanak-kanak sakit dan kurang upaya di seluruh Rusia, turut membantu pelarian Ukraine selepas Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine pada 2022.

Awal bulan ini, beliau ditahan, dikenakan perintah berkurung dengan pemantauan dan diwajibkan memakai alat pemantauan elektronik pada buku lali sementara menunggu perbicaraan atas pertuduhan menyebarkan “maklumat palsu” mengenai tentera Rusia.

Beliau berdepan hukuman penjara bertahun-tahun dalam kes yang mengejutkan masyarakat sivil Rusia, walaupun tindakan keras kerajaan semakin meningkat.

Pertuduhan itu berpunca daripada hantaran Telegram pada 2023 yang memetik statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai jumlah korban awam serta menyeru orang ramai membantu pelarian Ukraine yang tinggal di Rusia.

Moniava ialah tokoh yang dihormati dan antara pemimpin badan amal paling dikenali serta berkesan di Rusia. Usahanya mengisi kekosongan dalam penjagaan kanak-kanak sakit dan kurang upaya yang gagal disediakan kerajaan.

Tahun lalu, yayasannya mengumpulkan lebih 1.2 bilion rubel (AS$14 juta atau kira-kira RM57 juta), jumlah besar di Rusia, bagi menyediakan ubat-ubatan, peralatan, sokongan di rumah, jururawat dan pengasuh secara percuma kepada kanak-kanak yang memerlukan.

“Anak saya, Lyosha, terselamat hasil sokongan dana Lida,” kata Elena Babich, 50, ibu kepada seorang anak kurang upaya.

“Hari ini dia boleh menjalani kehidupan yang hampir seperti biasa,” katanya, sambil mengaitkan keadaan itu dengan “kerja harian” Moniava.

“Lida ialah simbol dan cahaya harapan kami, tetapi juga seseorang yang bekerja keras setiap hari.”

Cahaya harapan

Dilahirkan di Moscow dalam keluarga cendekiawan era Soviet, Moniava berusia 16 tahun ketika mula membantu kanak-kanak menghidap kanser melalui sebuah kumpulan Kristian Ortodoks.

Beliau mendapat latihan dalam bidang kewartawanan, tetapi meninggalkannya untuk memberi tumpuan sepenuhnya membantu kanak-kanak ketika dewasa.

Selepas bekerja dengan beberapa yayasan, beliau menubuhkan hospis pertama Moscow untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal pada 2013, sebelum melancarkan dana kebajikannya yang terkenal, “House with the Lighthouse”, pada 2018.

Dalam masyarakat Rusia, orang sakit atau kurang upaya sering ditempatkan secara tertutup di institusi amalan yang diwarisi sejak zaman Soviet, Moniava berusaha menghapuskan stigma terhadap golongan itu, termasuk menerusi kegiatan luar.

“Lida Moniava berpihak kepada kehidupan, manakala mereka yang cuba memenjarakannya berpihak kepada kematian,” kata pemenang Hadiah Keamanan Nobel dan wartawan liberal berpengalaman, Dmitry Muratov, kepada AFP ketika menghadiri prosiding mahkamahnya di Moscow.

Malah sebelum perang tercetus, beliau sudah menjadi sasaran kumpulan ultra-konservatif.

Ketika pandemik Covid-19, beliau mengambil seorang kanak-kanak lelaki kurang upaya teruk bernama Kolya sebagai anak angkat dan kerap menyiarkan foto serta video mereka berjalan dan melakukan pelbagai aktiviti di media sosial.

Kolya meninggal dunia pada 2022 pada usia 13 tahun. Tidak lama kemudian, seorang peguam berhaluan keras membuat aduan terhadap Moniava atas dakwaan kecuaian. Siasatan rasmi mendapati tiada salah laku.

‘Tidak boleh berdiam diri’

Pada awal perang pada 2022, Moniava melancarkan projek membantu sebahagian daripada ratusan ribu pelarian Ukraine yang melarikan diri ke Rusia akibat pertempuran.

Projek itu memberikan bantuan kepada kira-kira 17,000 orang dalam tempoh tiga tahun pertama perang.

Tanpa dapat membantah perang secara terbuka kerana berdepan risiko dipenjarakan, ramai rakyat Rusia melihat kerja kebajikan dan kemanusiaan seperti itu sebagai satu-satunya cara mereka boleh membantu dengan selamat.

Hampir semua pengkritik Presiden Vladimir Putin dan penentang utama perang sama ada sudah meninggal dunia, dipenjarakan atau hidup dalam buangan.

Moniava memilih untuk bersuara menentang perang walaupun menyedari risikonya.

Pada Februari, beliau didenda kerana “memburukkan” tentera Rusia susulan beberapa hantaran media sosial yang mengecam serangan tersebut.

“Perang ialah kejahatan. Ia tragedi yang dahsyat. Ia satu jenayah,” tulisnya selepas didenda.

Beliau enggan melarikan diri dari negara itu.

“Jika saya meninggalkan negara ini, lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan penjagaan paliatif akan berakhir di rumah anak yatim dan unit rawatan rapi. Mengetahui perkara itu, saya sukar untuk hidup bahagia di negara lain,” katanya.

“Tetapi saya tidak boleh berdiam diri seolah-olah tiada perang.”

Selepas prosiding terbaharu terhadapnya dimulakan, beliau sekali lagi enggan meninggalkan Rusia walaupun menerima “sejumlah besar nasihat” supaya berbuat demikian.

“Saya memahami sepenuhnya risikonya… tetapi penting bagi saya untuk kekal di Rusia dalam masa yang sukar ini.”

Beliau sudah melepaskan jawatan sebagai pengarah dananya supaya badan itu dapat terus beroperasi.

Bagi penyokongnya, tindakan terhadap beliau tidak lebih daripada satu penganiayaan yang tidak masuk akal.

“Pada hari ini di Rusia, orang suci pun turut didakwa,” kata seorang wanita berusia 50 tahun dari Moscow yang enggan namanya didedahkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top