
Kepulangan kumpulan aktivis warga Perancis disambut meriah di Lapangan Terbang Roissy Charles de Gaulle berhampiran Paris pada Jumaat.
ROM – Kumpulan aktivis pro-Palestin yang dibebaskan daripada tahanan Israel mendakwa mereka mengalami penderaan fizikal selain menjadi mangsa gangguan dan serangan seksual.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric pada Jumaat menegaskan beliau mengambil serius dakwaan tersebut setelah penganjur misi Global Sumud Flotilla merekodkan kira-kira 15 kes serangan seksual.
“Kumpulan aktivis yang ditahan turut dicampak ke dalam kontena dan dipukul berkali-kali tanpa perikemanusiaan.
“Ada yang dipaksa berbogel atas alasan untuk pemeriksaan, diejek dengan kata-kata lucah, alat kemaluan diraba dan diliwat termasuk menggunakan objek,” menurut kenyataan tersebut.
Pendedahan perbuatan kejam itu dibuat selepas Perkhidmatan Penjara Israel menafikan tuduhan yang dilemparkan itu meskipun rakaman kontroversi dikongsikan Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir jelas menunjukkan layanan buruk diterima kesemua 430 aktivis tersebut setelah kira-kira 50 kapal misi bantuan ke Gaza dipintas di perairan antarabangsa pada Selasa lalu.
Sementara itu, Jerman mendakwa beberapa rakyat mereka cedera manakala sumber perundangan di Itali mengesahkan mereka sedang menyiasat kemungkinan kes jenayah termasuk penculikan dan serangan seksual. – Agensi



