am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Kerajaan Johor mengambil tindakan segera susulan pencemaran air mentah di lembangan Sungai Johor di sini, hari ini, bagi memastikan bekalan di kawasan berkenaan tidak terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, antaranya meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi tujuan pencairan untuk mengurangkan tahap kekeruhan air di Sungai Johor.
“Begitu juga penghantaran bekalan air alternatif menerusi lori tangki ke kawasan terjejas bagi memenuhi keperluan pengguna sementara kerja pemulihan dijalankan.
“Kerajaan negeri menasihatkan semua penduduk di kawasan yang terbabit untuk menyimpan air secukupnya dan menggunakannya secara berhemah sehingga bekalan kembali pulih sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohamad Fazli berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada aktiviti perlombongan pasir darat oleh sebuah syarikat tempatan.
Menurutnya, semasa aktiviti itu dijalankan kolam cucian pasir keenam pecah akibat pergerakan tanah.
Katanya, pemantauan sudah dilakukan Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Ranhill SAJ.
“Disahkan bahawa paras kekeruhan air meningkat sehingga 37,400 unit kekeruhan nephelometric (NTU), jauh melebihi paras normal sekitar 400 NTU,” katanya.
Menurutnya, perkembangan itu berisiko menjejaskan operasi beberapa loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA PUB Singapura.
“Beberapa kawasan di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai dijangka akan mengalami gangguan sementara bekalan air tidak terancang,” katanya.
Beliau berkata, khususnya sebahagian kawasan Senai dan Skudai selain Seelong, Felda Linggiu, Petri Jaya dan Lima Kedai.
“Kerajaan negeri memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran sumber air negeri.
“Semua agensi teknikal kini bekerja secara bersepadu dan pantas bagi memastikan usaha pemulihan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, terdapat kolam takungan sedimen daripada aktiviti korek pasir di hulu sungai pecah.
“Pihak Bakaj arahkan pemberhentian operasi korek pasir dengan serta-merta.
“Kerja-kerja pembaikan diarah oleh JAS untuk dilaksanakan dengan serta-merta.
“Bagaimanapun, silt yang terlepas tidak dapat dibendung kerana terus masuk ke sungai,” katanya.
Terdahulu media melaporkan sungai tercemar apabila berwarna putih susu sekali gus menjejaskan aktiviti 150 nelayan di sepanjang ulu Sungai Johor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




